Peningkatan kes seludup burung murai di Malaysia cetus kebimbangan
JOHOR BAHRU: Peningkatan dalam kes-kes penyeludupan burung murai di Malaysia tahun lepas menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan ancaman kepupusan Burung Murai Kampung Copsychus saularis, spesis yang mudah ditemukan di Malaysia dan negara serantau.
Menerusi satu laporan yang diterbitkan bersama The Wildlife Trade Monitoring Network (TRAFFIC) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) kelmarin, terdapat lonjakan paling ketara berlaku pada tahun 2020, yang menyaksikan 17,736 atau 66 peratus dari jumlah kese-luruhan 26,950 ekor burung berjaya dirampas semasa cuba diseludup sepanjang tempoh 2015 hingga 2020.
Berdasarkan laporan itu, pemantauan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ber-kenaan juga menunjukkan terdapat situasi tidak sihat apabila wujud permintaan burung Murai Kampung di dalam negara dan juga luar negara bagi pasaran antarabangsa yang jauh lebih besar, khususnya Indonesia yang mampu mendorong kepada pemburuan yang tinggi dalam negara, yang boleh mengakibatkan kepupusan.
“Dengan menggunakan harga permintaan minimum RM7 dan maksimum RM450 - berdasarkan kajian perdagangan dalam talian oleh
TRAFFIC pada tahun 2019 dan 2020, dan memandangkan burung-burung yang dirampas ini disyaki berasal dari Malaysia, anggaran nilai kesemua burung yang dirampas dianggarkan berjumlah sekitar RM188,640 – RM12,127,500.
“Sebanyak 17,314 (64 peratus) daripada kesemua burung yang dirampas (bagi tempoh 2015-2020) melibatkan kes penyeludupan dari Malaysia ke Indonesia dan ia menunjukkan populasi burung Murai Kampung di Malaysia semakin banyak disasar untuk meme-nuhi permintaan di negara-negara jiran, khususnya Indonesia,” kata laporan itu. — Bernama