Terkesan dek kemarau, pesawah ambil inisiatif usahakan tanamam kontan
KEADAAN cuaca panas dan kering melampau ketika ini, memaksa pesawah di Seberang Perai mencari alternatif untuk mengusahakan tanaman kontan seperti betik, jagung dan sayuran bagi memastikan punca pendapatan mereka tidak terjejas.
Seorang pesawah padi, Mohd Yusri Mustafa, 42, berkata musim kemarau ini biasa terjadi bermula Januari sehingga Mac sekali gus menjejaskan hasil padinya di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Unit Padang Tembusu, Penaga, dekat Kepala Batas.
“Kemarau yang melanda telah menyebabkan hasil tanaman padi menurun sehingga 40 peratus atau RM30,000. Saya perlu cari jalan untuk memastikan perut keluarga dapat diisi dengan mengusahakan tanaman betik, jagung dan terung,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Baru, Penaga dekat Kepala Batas, kelmarin.
Katanya, tanaman betik pertama kali diusahakan beliau sejak menjadi pesawah 23 tahun lalu dan ilmu untuk mengusahakannya hanyalah berpandukan pengalaman daripada rakan-rakan petani lain.
“Pokok betik yang ditanam adalah sebanyak 600 pokok dengan keluasan lebih kurang 1.52 hektar dan disebabkan pertama kali (usaha tanaman betik dan lain-lain tanaman), ia menelan kos kira-kira
RM15,000 termasuk kos saliran paip,” kata bapa kepada empat anak itu.
Justeru beliau berharap pihak berwajib seperti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dapat menambah baik strategi pertanian sedia ada dengan lebih komprehensif bagi membantu pesawah yang terkesan berikutan musim kemarau, lebih-lebih lagi ketika pandemik COVID-19 yang melanda kini.
“Situasi ini memberi tekanan kepada kami, sebab ada dalam kalangan kami mengalami kekurangan dana, tambahan pula, hasil padi musim lalu juga menurun,” katanya.
Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan sawah padi di kawasan tersebut sudah dibajak terlebih dahulu selepas selesai proses menuai pada pertengahan Februari lepas dan kini pesawah hanya menunggu waktu untuk bekalan air disalirkan ke petak sawah.
Seorang lagi pesawah, Ismail Che Mat, 68, berkata masalah yang dihadapi ketika musim kemarau adalah untuk mendapatkan bekalan air yang cukup sehingga menyebabkan kebanyakan sawah menjadi kering kontang.
“Buat masa ini, belum ada kata putus oleh Jabatan Pertanian mengenai penjadualan air di sini. Tekanan air yang rendah juga telah menyebabkan kerja semaian benih terpaksa ditangguhkan,” katanya.4
Sebelumini,JabatanMeteorologi Malaysia mengumumkan bahawa negara kini sedang dilanda fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga pertengahan bulan ini dengan taburan hujan agak rendah terutama di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia. — Bernama