Pembukaan bazar diterima baik masyarakat
KOTA KINABALU: Pembukaan bazar Ramadan dan Aidilfitri yang diputuskan kerajaan kelmarin diterima baik masyarakat di negeri ini kerana dapat membantu golongan peniaga menjana pendapatan tambahan.
Ridwan Ong, 49, yang mengalu-alukan keputusan itu berkata, di samping memudahkan orang ramai mendapatkan juadah pilihan pada kali ini berbanding sebelum ini, namun katanya pemantauan dan penguatkuasaan perlu diperketatkan demi kebaikan semua pihak.
“Saya menyokong dan mengalu-alukan kebenaran operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri serta solat tarawih di seluruh negara yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.
“Bagaimanapun, ia mestilah di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan COVID-19.
“Para peniaga dan pengunjung bazar hendaklah mematuhi sepenuhnya SOP yang telah dan akan ditetapkan oleh pihak kerajaan demi kebaikan semua pihak.
“Keprihatinan kerajaan membuka peluang menambah pendapatan bagi para peniaga dan kemudahan mendapatkan juadah seperti sebelumnya bagi orang ramai hendaklah dimanfaatkan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita bagi mendapatkan reaksinya terhadap keputusan kerajaan itu yang diumumkan Ismail Sabri dalam satu sidang media pada Selasa.
Dalam pada itu, mengenai kebenaran untuk melaksanakan solat tarawih, Ridwan berpendapat jawatankuasa surau dan masjid perlu memainkan peranan masing-masing dengan lebih tegas berpandukan SOP bagi mengekang penularan wabak terbabit.
Di samping itu, beliau mengingatkan para jemaah supaya tidak leka dan mengutamakan disiplin diri dengan mematuhi SOP yang disarankan bagi mengekang penularan wabak berbahaya kepada orang ramai.
“Yang penting adalah kerjasama semua pihak khususnya setiap masyarakat dalam usaha memenangi ‘perang’ terhadap penularan wabak COVID19 dan pada masa yang sama pemantauan dan penguatkuasaan daripada kerajaan hendaklah dijalankan sepanjang Ramadan ini terutama di lokasi-lokasi bazar beroperasi, masjid dan juga surau,” katanya.