Subsidi telefon pintar legakan isi rumah B40
KUCHING: Subsidi RM300 bagi pembelian telefon pintar di bawah Program Jaringan Prihatin kepada isi rumah yang mempunyai anak bersekolah wajar dan bertepatan.
Tinjauan Utusan Borneo mendapati rata-rata isi rumah yang mempunyai anak bersekolah menyambut baik pemberian subsidi yang ditambah baik kerajaan ini.
Abang Abdul Aziz Abang Abdul Rauf berkata, langkah kerajaan menambah baik subsidi pembelian telefon pintar ini sememangnya wajar dan tepat pada masanya.
“Pemberian subsidi ini dapat mengurangkan beban rakyat terutama golongan B40 yang mempunyai anak bersekolah lebih daripada seorang.
“Lebih-lebih lagi dalam pandemik COVID-19 ketika ini, penggunaan telefon pintar menjadi satu keperluan untuk anak-anak mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah.
“Dengan adanya subsidi ini ia dapat membantu ibu bapa yang kurang mampu mendapatkan telefon pintar mengikut kemampuan untuk kemudahan anak-anak mereka yang bersekolah,” katanya.
Sementara itu Kolvincoren Jihem berkata, subsidi RM300 sudah pasti dapat membantu meringankan beban ibu bapa membeli telefon pintar untuk kegunaan anak mereka.
“Saya menyambut baik subsidi ini serta penambahbaikan yang dibuat kerajaan di bawah Program Jaringan Prihatin ini.
“Dengan adanya subsidi serta penambahbaikan perkhidmatan Internet ini ia dapat merapatkan jurang digital khususnya dalam kalangan isi rumah B40,” katanya.
Sementara itu Erwina Nissen berkata, subsidi ini amat diperlukan isi rumah yang kurang berkemampuan serta mempunyai anak yang ramai masih bersekolah.
Dengan pemberian subsidi ini, ia dapat digunakan untuk ibu bapa membeli tambahan telefon pintar untuk anakanak mereka mengikuti kelas secara dalam talian semasa pandemik ini.
“Tetapi kerajaan juga perlu memastikan kemudahan Internet dapat diakses dengan baik terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Tanpa liputan Internet yang baik, subsidi ini dan Program Jaringan Prihatin ini secara keseluruhannya adalah tidak bermakna,” katanya.