Kualiti dan standard produk pelancongan di bawah KETSA akan dipertingkatkan
LUMUT: Kualiti dan standard produk pelancongan di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli akan ditingkatkan bagi menambah nilai serta ekonomi hiliran selain menarik pengunjung dalam dan luar negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia antaranya melibatkan kawasan hutan lipur, taman negara, taman negeri, geopark dan produk lain yang berkaitan dengan ekopelancongan di seluruh negara.
Justeru, beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti Malaysia Book of Records (MBOR) bagi meningkatkan standard, kualiti serta pensijilan produk berkenaan.
“Semalam (kelmarin) saya mengadakan mesyuarat dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk memulihkan semua produk pelancongan di bawah kementerian agar ditingkatkan nilainya.
“Misalnya Geopark seperti yang ada di Lembah Kinta, Perak, dapat ditingkatkan nilai dari segi kualiti, standard dan persijilan. Saya percaya banyak produk kita yang nilainya lebih tinggi daripada apa yang ada di negara lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program pemeliharaan dan pemuliharaan Taman Paya Bakau Bandar dan penanaman 100 pokok bakau, di sini hari ini yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, Syamsul Hazeman Md Salleh.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata bagi memastikan kelestarian alam semula jadi tetap terpelihara, pihak kementerian telah merangka pelbagai program termasuk program penanaman pokok bakau dan spesies bersesuaian di pesisiran pantai negara yang dimulakan sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Katanya, bermula pada tahun 2005 sehingga tahun lalu, sebanyak 6.9 juta pokok bakau telah ditanam di seluruh negara dengan 1.2 juta pokok daripadanya telah ditanam di Perak.
“Dalam tempoh itu, sejumlah RM2.74 juta telah diperuntukkan kepada negeri Perak manakala pada tahun ini, sebanyak RM482,800 telah disalurkan kepada Jabatan Perhutanan Perak bagi meneruskan pelaksanaan program ini,” katanya.
Mengulas mengenai Kempen Penanaman 100 Juta
Pokok 2021-2025 yang dilancarkan sejak Januari lalu, Shamsul Anuar berkata sehingga kini lebih empat juta pokok telah ditanam di seluruh negara dan angka itu kian meningkat dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Syamsul Hazeman berkata taman paya bakau itu yang diwujudkan sejak 1994 dikenali sebagai Taman Rekreasi Dinding sebelum projek penanaman semula taman berkenaan dilaksanakan pada tahun 2006 dengan penambahan laluan pemandangan sejauh 365 meter dan kemudahan awam lain sebelum dinamakan semula sebagai Taman Paya Bakau Lumut.
Katanya, penjenamaan semula Taman Paya Bakau Lumut kepada Taman Paya Bakau Bandar itu dilihat satu nafas baharu di kawasan berkenaan yang mempunyai keistimewaan tersendiri dengan memiliki ekosistem paya bakau di kawasan berhampiran bandar.
“Susah kita nak lihat taman paya bakau yang mempunyai ekosistem yang lengkap di tengah-tengah penempatan di kawasan bandar dan kami harapkan para pelancong dapat mengambil manfaat dan berpeluang melihat keunikan taman paya bakau ini,” katanya. — Bernama