CCTV atasi masalah vandalisme di Kuantan Art Street
KUANTAN: Penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) akan dilaksanakan di Kuantan Art Street di sini, bagi memastikan karya seni 13 anak tempatan Pahang tidak dicemari perbuatan vandalisme.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, pemasangan CCTV itu perlu memandangkan beberapa lukisan dan aksesori tambahan dirosakkan, dalam tempoh kurang sebulan ia dibuka kepada orang awam.
“Kami telah berbelanja sekitar RM500,000 untuk mengubah landskap hampir 200 meter lorong belakang kedai di Jalan Besar di sini, yang sebelum ini gelap dan kusam menjadi lebih berwarna-warni bagi menarik kedatangan pelancong.
“Sudah tentu kami mahu karya seni yang mengambil masa berbulan-bulan disiapkan dipelihara dengan baik. Oleh itu, pemasangan CCTV diharap dapat membantu kami menangkap pelaku yang merosakkan karya seni dan mereka boleh dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.
Mohd Sharkar berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Kuantan Art Street di sini malam kelmarin, selain turut beramah mesra dengan anak seni yang terlibat menghasilkan 36 lukisan dengan tema berkaitan Pahang dan kisah rakyat negeri ini.
Beliau juga setakat ini, gembira dengan maklum balas orang ramai terhadap Kuantan Art Street, yang difahamkan telah menerima kunjungan lebih 50,000 orang walaupun belum siap sepenuhnya. Diangggarkan kerja menghasilkan mural itu masih berbaki 10 peratus untuk diselesaikan.
“Apa yang penting, kami harap mereka yang datang dan teruja untuk bergambar supaya terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutamanya dalam aspek penjarakan fizikal selain diminta tidak meninggalkan sampah di tempat tidak sepatutnya,” katanya.
Melihat kepada sambutan terhadap seni hasil kumpulan yang menggelar diri mereka Projek 06 itu, Mohd Sharkar tidak menolak kemungkinan lebih banyak lorong belakang kedai di Jalan Besar dan Jalan Mahkota dijadikan sebahagian daripada Kuantan Art Street dalam masa hadapan.
Ini kerana selain tarikan pelancong, pengubahan landskap itu juga membantu aspek kebersihan laluan belakang kedai selain meningkatkan tahap keselamatan kerana lorong yang terlibat diterangi lampu sepanjang malam.
Seorang anggota Projek 06,
Mohammad Amir Farouk berkata mereka kini ‘mengejar masa’ untuk menyiapkan Kuantan Art Street, termasuk berkarya pada waktu malam selepas jadual asal terganggu oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan musim tengkujuh yang melanda awal tahun ini.
“Kami mengambil masa dalam berkarya kerana mahu ia dilakukan dengan teliti, selain ada yang melibatkan penggunaan jentera pengangkut kerana dihasilkan sehingga ke tingkat tiga bangunan seperti lukisan Naga Sri Gumum, iaitu mitos Tasik Chini.
“Selain itu, kami juga mahu lukisan itu bercerita kepada pengunjung seperti kisah tukang kasut diilhamkan daripada tukang kasut yang sudah berniaga di Kuantan sejak 1989... yang mengambil masa 10 hari untuk disiapkan kerana perincian terhadap lukisan tersebut,” katanya. — Bernama