Berunding dengan nelayan isu pampasan penyambungan Jeti Pelabuhan Tanjung Bruas
MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka mengarahkan pihak yang terlibat dalam projek penyambungan Jeti Pelabuhan Tanjung Bruas di Tanjung Kling, berunding dengan nelayan yang terjejas dalam usaha mendapatkan situasi menang-menang untuk semua pihak.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, antara permintaan lebih 300 nelayan kawasan Melaka Selatan tersebut adalah mahu pengurusan Tanjung Bruas Port Sdn Bhd, Kumpulan Melaka Berhad (KMB) dan Lembaga Pelabuhan Melaka memberi pampasan serta mereka dibenarkan menangkap ikan di kawasan projek pada harihari tertentu.
“Kerajaan negeri bersetuju agar golongan nelayan yang terkesan dirundingi bagi mencapai keputusan menang-menang dan pemaju mematuhi undang-undang sepanjang pembinaan projek tersebut.
“Mengenai berapa pampasan, biarlah ia diputuskan melalui perbincangan tersebut kerana pendapatan rata-rata nelayan tersebut bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan ikan,” katanya pada sidang akhbar pascamajlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di sini, semalam.
Terdahulu, lebih 100 nelayan berlesen di kawasan Melaka Selatan mendakwa mereka bakal terjejas akibat projek tersebut kerana keluasan penangkapan ikan akan menjadi terhad apabila projek jeti tersebut siap pada tahun 2026.
Mereka mendakwa kawasan tersebut menjadi laluan dan persinggahan kapal-kapal dagang di samping keselamatan mereka juga terkesan kerana banyak cerucuk yang akan dibina di kawasan tersebut sepanjang tempoh pembinaan.
Dalam pada itu, Sulaiman turut menjelaskan kerjakerja pemanjangan jeti hanya melibatkan 50 meter, bukan 600 meter seperti yang didakwa sebelum ini.
Beliau juga menegaskan tidak timbul sebarang pelanggaran syarat seperti yang didakwa kerana permohonan untuk kerja pemanjangan jeti sepanjang 50 meter itu serta kebenaran merancang telah diluluskan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
“Semua syarat-syarat dan proses telah dipatuhi termasuk Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Malahan tempoh konsensi projek pemanjangan jeti itu baru melalui fasa pertama daripada enam fasa keseluruhan, iaitu dari tahun 2020 hingga 2027, tertakluk kepada kajian dan kelulusan yang akan diberikan,” katanya. — Bernama