Lok Kawi Resort City bakal jadi tumpuan pelancongan
Berkonsepkan bandar resort yang indah dan moden, selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kelak
KOTA KINABALU: Lok Kawi Resort City bakal menjadi Daerah Pusat Perniagaan sebaik sahaja projek berkenaan siap sepenuhnya dalam tempoh sekurangkurangnya 15 tahun.
Nilai Pembangunan Kasar Projek (GDV) dijangkakan sebanyak RM7 bilion ini akan memberikan peluang perniagaan terutamanya kepada peniaga kecil dan sederhana.
Pihak Kumpulan Yayasan Sabah akan diberikan hak sebanyak 12 peratus daripada GDV atau minimum RM840 juta (RM500 juta dalam bentuk tunai dan RM340 juta untuk hotel) yang mana lebih tinggi.
Pembangunan ini juga akan menyediakan sekurangkurangnya 4,000 sehingga 5,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembinaan yang boleh memanfaat rakyat Sabah.
Selain itu, lebih banyak peluang pekerjaan lain dapat diwujudkan selepas siapnya projek itu nanti.
Persekitaran kawasan Lok Kawi akan berubah wajah dari kawasan yang kurang pembangunan kepada sebuah bandar resort yang indah serta moden.
Projek Lok Kawi Resort City adalah projek usaha sama antara Kumpulan Yayasan Sabah dengan Tegas Bangsa Sdn Bhd yang merupakan rakan sekutu kepada Kumpulan Pavilion.
Projek ini terletak di Kampung Meruntum Lok Kawi Putatan iaitu di tanah milik
Yayasan Sabah seluas 411 ekar.
Pembangunan ini adalah projek bersepadu yang mengandungi pembangunan seperti komersial, pejabat, kediaman, resort hotel, kompleks beli-belah dan taman tema.
Projek yang memakan masa 15 tahun itu (2021 sehingga 2035) akan merangkum sebanyak 11 parcel kesemuanya.
Dengan prasarana yang berkonsepkan bandar resort, dilengkapi dengan taman tema. Tempat ini akan menjadi salah satu tumpuan masyarakat pada masa hadapan bagi aktiviti rekreasi.
Kualiti kehidupan penduduk kawasan ini juga akan bertambah baik dengan persekitaran hidup yang selesa dengan adanya perumahan terancang serta kemudahan serba lengkap.