Kenaikan IHP Papar kemungkinan trend deflasi adalah sementara: Ahli ekonomi
KUALA LUMPUR: Peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada bulan lepas menunjukkan bahawa trend deflasi yang dialami Malaysia pada 2020, berkemungkinan adalah peralihan atau bersifat sementara, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Sehubungan itu, beliau menjangkakan Malaysia akan mencatat pertumbuhan IHP yang lebih positif berikutan faktor asas yang rendah pada tahun lepas serta unjuran peningkatkan harga minyak pada tahun ini, katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Jabatan Perangkaan pada awal Rabu bahawa IHP pada Februari lepas telah meningkat 0.1 peratus kepada 122.5 berbanding 122.4 bagi tempoh sama 2020.
Mohd Afzanizam berkata, indeks teras itu yang meningkat 0.7 peratus pada Februari, juga terbukti berupaya mengekalkan pertumbuhan bagi tempoh empat bulan berturut-turut yang menunjukkan harga selain bahan api dan barangan kendalian lain, turut mengalami kenaikan.
Trend sedemikian juga sejajar dengan peningkatan hasil bon yang mana Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun kini di sekitar 3.4 peratus berbanding 2.65 peratus pada awal Januari 2021, katanya.
Ini menunjukkan bahawa pasaran bon masih menjangkakan bahawa Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan dinaikkan pada masa akan datang, kata beliau.
“Namun, berdasarkan situasi ekonomi masa kini, mungkin masih terlalu awal untuk menjangkakan OPR akan dinaikkan pada tahun ini.
“Bagi tempoh akan datang, adalahdijangkakanpasaranbon akan menjadi tidak menentu apabila pasaran perlu berdepan dengan jangkaan peningkatan kadar inflasi akibat kenaikan harga minyak,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS) Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff pula menyifatkan data terkini
IHP itu menunjukkan Malaysia sedang mencatat pemulihan lebih perlahan daripada kemelesetan ekonomi yang dialami sejak beberapa suku sebelum ini.
“Angka IHP yang lebih tinggi itu menunjukkan bahawa orang ramai telah mula berbelanja ke atas produk dan perkhidmatan, sekali gus menggambarkan keyakinan tinggi dalam pasaran pengguna.
“Malah, bukti itu diperkukuh lagi dengan peningkatan harga barangan tidak tahan lama yang lazimnya tidak banyak mendapat permintaan ketika meleset,” katanya.
Ahmed Razman juga berpendapat, peningkatan penggunaan akan turut menggalakkan perniagaan untuk menjalankan operasi pada kapasiti optimum selain menggalakkan pelaburan tinggi di negara ini. — Bernama