Peniaga gembira daftar sebagai penerima vaksin
KOTA KINABALU: Walaupun sering dikhabarkan dengan pelbagai berita negatif, peniaga buah-buahan di Pasar Besar Kota Kinabalu, Masliah Ampuroh, 52, berpendapat tiada alasan untuk seseorang tidak mendapatkan suntikan vaksin COVID19.
“Saya berterima kasih Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) ApiApi, Oliver Majaham dan juga Jabatan Penerangan Sabah kerana membantu saya mendaftar sebagai menerima vaksin dalam aplikasi MySejahtera.
“Dengan pendekatan ini, saya yakin akan lebih ramai masyarakat berpeluang mendaftar sebagai penerima vaksin,” katanya.
Sementara itu, peniaga sayur, Banong Othman, 54, menganggap pendaftaran vaksin bagaikan sinar harapan bagi golongan berusia dan berisiko seperti dirinya.
“Sudah tentu saya akan mengambil vaksin itu nanti kerana saya berusia dan berisiko tinggi untuk dijangkiti virus COVID-19.
“Program ini merupakan sinar harapan kepada saya yang mengharapkan penularan jangkitan ini dapat dikawal apabila semua sudah menerima vaksin nanti.
“Secara tidak langsung dapat membantu merancakkan lagi ekonomi dalam negara dan kelangsungan operasi perniagaan tempatan khususnya di kawasan pasar ini,” katanya.
Bagi memastikan setiap maklumat berkenaan vaksin dapat dihebahkan secara umum dan sampai kepada masyarakat, Jabatan Penerangan Sabah bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) ApiApi
hari ini, mengadakan Program Info On Wheel (IOW) di Pasar Besar Kota Kinabalu untuk mendekati dan menggalakkan rakyat untuk menjayakan Program Imunisasi Kebangsaan. — Penerangan