IPD Ranau jayakan sambutan Hari Peringatan PDRM ke-214
RANAU: Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan cuaca hujan tidak menghalang pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau mengadakan sambutan Hari Peringatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.
Sambutan Hari Peringatan Polis ke-214 itu bermula seawal jam 7.30 pagi dengan perbarisan Kawalan Hormat, diketuai Insp. Mohd. Ikhsan Mohd. Firdaus Azmi, bagi menyambut ketibaan Ketua Polis Daerah Ranau, DSP. Sammy Newton yang seterusnya memeriksa Kawalan Hormat Perbarisan, disusuli Lafaz Ikrar PDRM diketuai, Insp. Syaurin Bin Suhurani.
Sammy kemudian membaca Perutusan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bin Bador, yang antaranya menyeru anggota PDRM agar sentiasa siap-siaga menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada m ereka dengan penuh dedikasi dan jujur untuk mencapai matlamat utama untuk mengekalkan ketenteraman awam, keharmonian, keselamatan dan keamanan negara.
Beliau berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada seluruh warga PDRM yang telah memerah keringat dan bergadai nyawa demi memastikan kesejahteraan masyarakat dan keamanan negara kekal terpelihara.
“Saya menyanjung tinggi pengorbanan dan amat berbangga dengan semangat yang dipamerkan oleh setiap warga Pasukan dalam memikul amanah kerajaan dan menjadi sandaran harapan masyarakat untuk membendung penularan COVID-19.
“Kesiapsiagaan pasukan menjalankan tugas dalam norma baharu dan terdedah dengan risiko jangkitan, adalah bukti nyata kesanggupan mengetepikan keselamatan diri sendiri demi melindungi masyarakat daripada ancaman wabak maut tersebut,” tegasnya.
Sempena majlis itu, DSP Sammy telah menyampaikan Sijil Penghargaan kepada para pegawai dan anggota PDRM pemimpin masyarakat para angota Perkep dan pengamal media.