APMM tahan kapal tangki gagal pamer dokumen jaminan insurans
MELAKA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal tangki yang mencurigakan pada kedudukan kira-kira 1.9 batu nautika barat daya dari Tanjung Ke-ling, di sini kelmarin.
Pengarah APMM Ne-geri Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, dalam kejadian jam 4.20 petang itu, kapal tersebut ditahan berdasarkan aduan dan maklumat yang diterima daripada Jabatan Laut Malaysia berkenaan status satu vesel yang belayar tanpa perlindungan insurans.
“Bertindak atas maklumat, bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan kapal tangki itu yang sedang berlabuh di batas pelabuhan Melaka.
“Pemeriksaan awal mendapati, kapal tangki MT PENNY H yang berdaftar di Tanzania itu dikendalikan 24 kru warga China berumur 22 hingga 46 tahun yang memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen jaminan insurans seperti kehendak Limitation of Liability of Maritime Claims (LLMC) daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
“Kapal berserta semua kru seterusnya ditahan dan kes telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat APMM Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Susulan insiden ini, APMM akan terus mempergiatkan lagi kerjasama yang baik dengan agensi kerajaan berkaitan dalam operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.
Orang ramai diminta agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Ne-geri Melaka & Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam. — Bernama