Pendidikan prasekolah perlu dititikberatkan
SRI AMAN: Negara amat memerlukan golongan cerdik pandai untuk meneruskan kesinambungan pembangunan negara, kata Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Sri Aman Wan Habeeb Wan Mohamad.
Oleh yang demikian, pendidikan perlu dititikberatkan di setiap peringkat agar generasi yang dilahirkan berkualiti tinggi dan mampu bersaing dalam dunia yang semakin mencabar.
“Anak-anak yang menuntut ilmu bermula di peringkat tabika dan taska perlulah diberikan perhatian sepenuhnya kerana ia adalah tunjang utama bagi mereka melangkah ke alam pendidikan yang sebenar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Bangunan Tabika KEMAS Kem Pakit dekat sini, semalam.
Wan Habeeb yang juga Penyelia Prasekolah Jabatan
KEMAS Bahagian Sri Aman berkata, fokus terhadap pendidikan generasi muda tidak boleh berganjak daripada sasaran melahirkan sekurangkurangnya graduan.
“Jika kita tidak menghantar anak-anak ke sekolah untuk menimba ilmu pengetahuan, bagaimanakah sasaran itu mampu dicapai?
“Cabaran yang berada di hadapan kita begitu besar jika anak-anak tidak dibekalkan dengan ilmu yang bakal menjadi aset penting untuk kehidupan pada kemudian hari,” tegasnya lanjut.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa agar sentiasa mengambil berat pergerakan anak-anak selepas waktu persekolahan dan sentiasa memastikan mereka melakukan aktiviti berfaedah.
“Sebagai ibu bapa anda tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab menjaga anak-anak kita kepada pihak guru semata-mata sebaliknya kita perlu memainkan peranan yang sama,” ujarnya.
Terdahulu, penyerahan kunci bangunan baharu tersebut kepada Jabatan KEMAS Bahagian Sri Aman telah disempurnakan Pegawai Memerintah Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Pakit Leftenan Kolonel Mohd Rizal Mohd Ali.
Hadir sama pada majlis berkenaan, Pegawai Pembangunan Masyarakat merangkap Pegawai Pembangunan Komuniti di KEMAS Bahagian Sri Aman Kelvin Lambai.
Tabika KEMAS Kem Pakit menempatkan 37 kanakkanak dalam tiga kelas iaitu Kelas A, B dan C.