PAU 2020 dijangka ‘panas’ dengan usul putus dengan BERSATU, gabungan MN
KUALA LUMPUR: Hari ini bermulalah Perhimpunan Agung UMNO 2020 selama dua hari, selepas setahun ditangguhkan susulan COVID19 dan sudah pastinya ia merupakan perhimpunan penting buat parti itu, dalam menentukan hala tujunya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ini termasuklah untuk mendapatkan keputusan sebulat suara perwakilan terhadap ketetapan yang diputuskan Majlis Tertinggi (MT) UMNO, iaitu untuk tidak lagi bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam PRU15.
IadiakuiSetiausahaAgung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, bahawa usul memutuskankerjasamadengan BERSATU merupakan usul yang mendominasi perjalanan perhimpunan agung berkenaan.
“Daripada 1 hingga 3 Jan tahun ini kita telah mengadakan sebanyak 760 mesyuarat perwakilan meliputi Pemuda, Wanita, Puteri dan Bahagian, kecuali Bahagian Tanah Merah, Kelantan yang digantung dan kesemuanya dilaksanakan di 190 bahagian.
“Usul utama daripada 190 bahagian itu ialah 124 bahagian menyebut supaya tiada kerjasama dengan BERSATU…ini usul utama,” katanya dalam temu bual bersama Bernama di sini pada Selasa lepas (23 Mac).
UMNO sebelum ini telah mengutuskan surat kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden BERSATU, untuk memaklumkan tidak lagi bekerjasama dengan BERSATU dalam PRU15, namun berpendapat kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan, sehingga pembubaran Parlimen.
Denganpelbagaiisuyang melanda politik tanah air ketika ini, perhimpunan UMNO kali ini boleh dikatakan ‘panas’ dan dijangka akan menarik minat ramai pihak termasuk penganalisis politik, untuk mengikuti perkembangan dan pendirian parti itu yang telah menginjak usia 75 tahun.
Sudah pasti, selain isu memutuskan kerjasama dengan BERSATU, turut diberikan tumpuan adalah mengenai pendirian UMNO terhadap Muafakat Nasional (MN), yang dibentuk bersama PAS.
Ini kerana parti Islam itu kini adalah sebahagian daripada komponen PN yang turut dianggotai BERSATU, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan terbaharu Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN).
Ahmad berkata, ia merupakan usul kedua tertinggi yang akan dibincangkan dalam perhimpunan berkenaan, mengatasi usulusul lain seperti pendidikan, ekonomi dan agama.
“Ada usul-usul lain seperti ekonomi, pendidikan dan agama, namun tidak berapa menonjol. Tetapi dua usul politik ini yang mendominasi segala usulusul yang ada,” katanya.
Satu lagi perkembangan yang menarik untuk diberi perhatian adalah kenyataan daripada Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 12 Mac lepas, yang dilapor sebagai berkata keputusan yang dibuat oleh MT UMNO itu hanya boleh diubah menerusi Perhimpunan Agung UMNO.
Mengulas mengenai perkara itu, Ahmad Maslan yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, tiada mana-mana bahagian yang mengemukakan usul untuk mengubah keputusan MT setakat ini.
“Setakat ini saya tak pernah dengar lagi perwakilan menyatakan tidak setuju (dengan usul yang dibawa). Itu tradisi UMNO. Selepas perwakilan kata setuju, maka luluslah usul-usul yang disebut itu,” katanya dan turut menjelaskan bahawa keputusan yang diputuskan parti dipersetujui secara konsensus, oleh semua ahli MT selepas bermesyuarat lebih daripada enam jam, 19 Feb lepas.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pontian itu juga menegaskan kebersamaan UMNO dan BN dalam kerajaan adalah untuk menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin, dan tidak pernah bersama menyertai PN.
“UMNO tidak pernah bersama dengan PN dan hanya menyerahkan ahli Parlimen UMNO dan ahli Parlimen BN untuk menyokong kerajaan. Ini kerana kami telah mempunyai BN.
“Untuk menjadi satu lagi komponen parti (di dalam PN), ia tidak sesuai kerana BN telah wujud sejak sekian lama dan kami menetapkan UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) kekal di dalam BN,” katanya.
Perhimpunan Agung UMNO diadakan secara hibrid, yang menggabungkan kehadiran fizikal ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dan secara maya di 190 bahagian di seluruh negara, kecuali Sarawak.
Perhimpunan parti terbesar orang Melayu itu, akan diadakan dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu, mengimbas MySejahtera dan sanitasi tangan.
Ia akan dimulakan dengan perasmian serentak persidangan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka pada Sabtu, dan acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa di Plaza Merdeka, serta ucapan dasar Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada keesokannya.
Tidak seperti kelaziman, perhimpunan kali ini tidak menjemput pemerhati awam dan bukan perwakilan, serta tiada gerai jualan dan kenderaan tamu saji dibenarkan beroperasi sepanjang perhimpunan berlangsung.
Perhimpunan berkenaan menerima permohonan liputan daripada 42 agensi media cetak dan elektronik. — Brenama
PUTRAJAYA: Hasil inovasi Hospital Tengku Anis, Kelantan melalui ‘Standing Bed for Physiotherapy Exercise’ bagi memudah cara pemulihan perubatan fisioterapi bagi kanak-kanak istimewa merangkul Anugerah Perdana Inovasi Kementerian Kesihatan (KKM) 2020.
Katil inovasi itu direka untuk menyokong pesakit kanak-kanak penghidap palsi serebral, spina bifida dan sindrom down yang memerlukan rawatan fisioterapi bagi melatih mereka untuk berdiri.
Pegawai Pemulihan Perubatan Fisioterapi Hospital Tengku Anis Norfatanah Abdullah Sani berkata inisiatif menghasilkan inovasi itu bermula pada 2015 setelah melihat pelbagai kekangan dan ketidakselesaan kepada pesakit yang menerima rawatan fisioterapi menggunakan bola gim sebelum ini.
“Setelah berbincang dengan empat anggota lain dalam pasukan kami, standing bed (katil berdiri) ini terhasil dan ia lebih mudah, rawatan dapat dilakukan dengan sistematik dan selamat. Masa rawatan dan tenaga juga dapat dijimatkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan inovasi tersebut yang diadakan sempena sambutan Hari Inovasi KKM bertemakan ‘Budaya Inovasi Pemangkin Kecemerlangan’, di sini semalam.
Menurut Norfatanah, setakat ini, 20 pembeli telah menggunakan kemudahan katil itu yang dijual pada harga kira-kira
RM5,000 seunit dan pihaknya turut menerima maklum balas positif daripada pengguna.
Beliau berkata, jerayawara akan dijalankan selepas ini bagi memperkenalkan produk inovasi itu kepada semua fasiliti kesihatan.
Pada majlis itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba turut menyampaikan anugerah kepada pemenang Anugerah Inovasi 2020 kategori produk, perkhidmatan, proses dan teknologi dan Anugerah Khas Inovasi 2020.
Antara penerima anugerah ialah aplikasi MySejahtera yang dibangunkan pasukan Bahagian Kawalan Penyakit KKM dan Specimen Management Information System (SMIS) yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan.
Turut dilancarkan produk komersial ‘Hospital Smart Bed’, hasil inovasi Shamsul Kamal Mohamad Khair dari Hospital Selama, Perak bertujuan mewujudkan norma baharu budaya prosedur kerja pengimejan diagnostik kes trauma dan kronik dengan mengutamakan 3K iaitu keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan pesakit.
Terdahulu, Dr Adham ketika berucap pada majlis itu berkata KKM juga bekerjasama dengan beberapa agensi penyelidikan dan khidmat teknikal bagi menghasilkan inovasi peralatan terbaharu menerusi ‘Kolaborasi Strategik Inovasi Kejuruteraan Kesihatan’.
Menerusi kolaboratif itu, tiga inovasi telah dihasilkan iaitu prototaip peranti perubatan ventilator menggunakan teknologi 3D, prototaip ‘Splitter Kit’ ventilator dan Unit Rawatan Rapi Hibrid di lapangan (FHyICU), katanya.
Dr Adham berkata, sebagai pengiktirafan dalam bidang inovasi, Malaysia kini berada di tangga ke-33 dalam Indeks Inovasi Global (GII) 2020 berbanding tangga ke-35 pada 2019 daripada 133 negara.
Di peringkat Asia Pasifik pula, Malaysia berada pada kedudukan kelapan dalam indeks yang dikeluarkan INSEAD, Pertubuhan Hartanah Intelek Dunia (WIPO) yang juga agensi khusus Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Cornell University.
Katanya, beliau dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah dicalonkan sebagai ‘Executive Board’ untuk mewakili Western Pacific Region Office dalam Persidangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2021.
“Ini juga satu pengiktirafan dunia kepada KKM di atas sumbangan dan kejayaan kita dalam pelbagai bidang seperti pengurusan pandemik COVID-19, Inovasi Kesihatan Digital, kesihatan mental dan pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD),” katanya.
KKM juga menerima Anugerah Kesihatan Global (GHA) 2020 dan Anugerah Inovasi Antarabangsa COVID-19 Edisi Khas Malaysia Technology Expo 2020. — Bernama