Pelajar kembali ke sekolah, terap norma baharu
Sesi persekolahan bersemuka di SMK Kota Samarahan dibahagikan kepada dua sesi iaitu pagi dan petang
KOTA SAMARAHAN: Setelah hampir setahun melaksanakan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam talian di rumah, akhirnya semua pelajar menengah di Sarawak kembali ke sekolah mulai semalam.
Tinjauan Utusan Borneo di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Samarahan di sini mendapati, sesi persekolahan bersemuka dibahagikan kepada dua sesi iaitu pagi, seramai 881 pelajar dan petang 1,448 orang, melibatkan keseluruhan jumlah pelajar 2,329 orang.
Malah, amalan norma baharu turut diterapkan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika pandemik COVID-19 ini dengan menempatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di pintu masuk sekolah.
Selain itu, para pelajar di sekolah itu dilihat memakai pelitup separuh muka, beratur dengan mengamalkan penjarakan fizikal, mengimbas suhu dan kod QR sebelum masuk ke bilik darjah masing-masing.
Bagi Osman Suni, 51, dari Kampung Tanjung Apong, meskipun ketika pandemik COVID-19, namun dengan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan keyakinan akan keselamatan anaknya.
“Perasaan bimbang itu memang ada kerana kita di Sarawak tidak terkecuali daripada dilanda wabak COVID-19 ini.
“Tetapi dengan SOP yang telah ditetapkan, saya yakin dengan keselamatan anak-anak ketika berada di sekolah,” katanya ketika ditemui di SMK Kota Samarahan di sini semalam.
Tambahnya, beliau menyambut baik sesi persekolahan bersemuka ini bagi memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pelajaran.
“Kalau pembelajaran dibuat dalam talian anak-anak kurang memberi tumpuan selain kekangan yang dihadapi ibu bapa dalam melaksanakan perkara ini.
“Jadi saya menyambut baik pelaksanaan semula pembelajaran bersemuka di sekolah ini agar anak-anak dapat memberi tumpuan dan bertanya langsung kepada gurunya,” katanya.
Dalam pada itu, Osman yang mempunyai tiga anak, masing-masing di tingkatan lima, tiga dan tahun dua, memberitahu bahawa pelaksanaan pembelajaran bersemuka juga mengurangkan beban ibu bapa daripada golongan yang kurang berkemampuan selain kawasan yang mempunyai masalah liputan Internet.
“Ada ibu bapa tidak mampu menyediakan kemudahan untuk anak-anak mereka seperti telefon pintar atau komputer selain masalah Internet.
“Oleh itu, pembelajaran bersemuka ini menyelesaikan masalah yang dihadapi golongan ibu bapa yang kurang mampu ini,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pelajar SMK Kota Samarahan, Aizatul Nabila Suhaidi, 14, melahirkan rasa teruja untuk bersua muka dengan rakan-rakan sekelasnya.
“Saya gembira kerana sudah lama tidak belajar bersama rakan-rakan sekelas selain dapat memberi lebih lagi tumpuan ketika belajar,” katanya.
“
Perasaan bimbang itu memang ada kerana kita di Sarawak tidak terkecuali ” daripada dilanda wabak COVID-19 ini. Osman Suni Bapa pelajar