Perkampungan pulau peranginan Semporna perlu dikaji semula Untuk pastikan hidupan marin dasar laut dapat dijaga dengan baik
SEMPORNA: Perkampungan di kawasan pulau peranginan di daerah ini yang dilihat menyumbang kepada pencemaran alam sekitar perlu dikaji semula supaya kehidupan marin di dasar laut dapat dijaga dengan baik.
Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kewujudan perkampungan berkenaan dilihat merosakkan pemandangan seterusnya bertentangan dengan status Semporna sebagai antara syurga pulau dunia.
“Kita harus terima, realitinya, kampung berkenaan telah dibenarkan oleh kerajaan, namun, mungkin Pejabat Daerah Semporna perlu meneliti semula kawasan sekitar berikutan kesan sampingan kewujudannya di pulau berkenaan.
“Segala sisa buangan seperti sampah sarap dibuang terus ke laut sekali gus menyebabkan pencemaran air berlaku,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pemuliharaan Terumbu Karang Di Taman Marin Tun Sakaran, di sini pada Isnin.
Tambahnya, selain sampah, pembinaan perumahan atas air juga perlu dipantau bagi mengelakkan lambakan bilangan rumah sehingga ke tengah laut sekali gus membabitkan kawasan lebih luas pada masa akan datang.
“Bagaimanapun, Pejabat Daerah Semporna dan Taman Taman Sabah (TTS) perlu mengambil pendekatan holistik bagi mengenal pasti masalah serta pihak terlibat sebelum sebarang tindakan dilakukan.
“Ia perlu diselesaikan dengan cara terbaik kerana membabitkan isu kemanusiaan dan perundangan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, berhubung pemuliharaan kawasan pelancongan di daerah ini pihaknya memandang serius berkaitan aktiviti pengeboman ikan.
“Aktiviti ini bukan sahaja akan memusnahkan hidupan ikan tetapi turut menjejaskan terumbu karang yang merupakan khazanah di lautan Semporna.
“Saya minta pihak berkuasa samada Pasukan Polis Marin (PPM) ataupun TTS memastikan tiada aktiviti pengeboman ikan berhampiran pulau-pulau peranginan,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, individu yang melakukan pengeboman ikan itu perlu diambil tindakan tegas sebagai pengajaran kepada mereka.
“Kita bukan mahu menghalang mereka mencari rezeki tetapi perlu menggunakan kaedah-kaedah yang selamat yang tidak menjejaskan nyawa orang dan alam semula jadi,” katanya.