Pusat Lestari Kota Kinabalu dilancar
KOTA KINABALU: Pusat Lestari Kota Kinabalu (PLKK) menawarkan perkhidmatan membaik pulih barangan rosak agar boleh diguna semula.
Selain menerima sumbangan barangan terpakai seperti pakaian, buku, barangan dapur, permainan kanak-kanak, beg dan kasut, program berterusan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) itu juga menyediakan perkhidmatan seperti membaiki kasut, menjahit pakaian, membaiki telefon, komputer dan barangan elektrik.
Pusat berkenaan dibuka pada setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang bertujuan menggalakkan elemen penggunaan semula di samping mengurangkan penjanaan sampah dalam bandaraya Kota Kinabalu.
Pusat berkenaan turut membeli barangan kitar semula dan membeli minyak masak terpakai pada setiap Sabtu dan Ahad bermula jam 8 pagi hingga 2.00 petang.
Hadir melancarkan PLKK ialah Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Noorliza Awang Alip yang diiringi Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa
Pepejal DBKK Leong Tze Fui, Pengarah Jabatan Kejuruteraan DBKK Jack Lo dan
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK Robert Lipon. — Penerangan