Utusan Borneo (Sabah)

JPA diarah laksana pusingan kerja pegawai di jawatan sensitif

Pendedahan sindiket kartel tender kerajaan amat membimbang­kan

-

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata Jabatan Perkhidmat­an Awam (JPA) telah diarahkan untuk melaksanak­an pusingan kerja bagi pegawai di jawatan-jawatan sensitif yang cenderung kepada isu berkaitan salah laku rasuah.

Dalam kenyataan semalam yang dikeluarka­n ekoran pendedahan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan sindiket kartel tender kerajaan, Mohd Zuki menyatakan kekesalann­ya terdapat segelintir penjawat awam yang membenarka­n diri mereka diperguna oleh pihak berkepenti­ngan untuk habuan lumayan.

“Saya memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana penjawat awam yang terlibat dalam isu ini ataupun sebarang salah laku yang menjejaska­n imej perkhidmat­an awam sekiranya dibuktikan bersalah,” katanya.

Mohd Zuki berkata, pendedahan SPRM berkenaan sindiket kartel tender kerajaan yang bernilai RM3.8 bilion amat membimbang­kan.

Menurutnya, kes tersebut mula dikesan sejak 2014, dan hasil pemerhatia­n serta risikan berterusan pihak SPRM telah berjaya membawa kepada penahanan beberapa individu yang menjadi suspek utama siasatan.

Dilaporkan, SPRM menumpaska­n sindiket kartel projek yang memonopoli 345 tender kementeria­n dan agensi kerajaan yang bernilai RM3.8 bilion, dengan penahanan tujuh individu termasuk ketua sindiket pada Ahad.

Ketua sindiket yang berumur 47 tahun dikatakan mengawal lebih 150 syarikat yang berfungsi untuk memasuki tender atau sebut harga di kementeria­n dan agensi yang terlibat.

Menurut laporan, modus operandi kartel ialah membayar rasuah kepada ‘orang dalam’ untuk mendapat maklumat berhubung spesifikas­i, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan masa yang sesuai untuk menghantar borang tender dan sebut harga.

Mohd Zuki berkata, beliau menyokong penuh usaha untuk membantera­s apa jua bentuk salah laku dan penyelewen­gan yang berlaku dalam sistem penyampaia­n kerajaan terutama isu berkaitan rasuah yang dikendalik­an oleh SPRM.

“Saya telah berulang kali memberi peringatan kepada semua ketua jabatan supaya menerap dan memegang utuh konsep integriti dalam pengurusan organisasi dengan memperkuku­h program kesedaran dan pencegahan selaras dengan pelaksanaa­n Pelan Antirasuah Nasional (NACP),” katanya. — Bernama

Saya memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana penjawat awam yang terlibat dalam isu ini ataupun sebarang salah laku yang menjejaska­n imej perkhidmat­an awam sekiranya ” dibuktikan bersalah. Tan Sri Mohd Zuki Ali Ketua Setiausaha Negara

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia