Utusan Borneo (Sabah)

Bahaya mencuri arus elektrik

-

Kegiatan tidak bertanggun­gjawab segelintir orang awam yang mencuri arus elektrik seakanakan ‘menyerah nyawa’ kerana mereka boleh terkena renjatan elektrik ketika cuba melakukan pintasan elektrik atau memotong kabel yang masih terdapat aliran arus.

“Kejadian ini mengakibat­kan bukan sahaja nyawa melayang tetapi ia menyukarka­n aktiviti harian penduduk yang terputus bekalan elektrik,” kata Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Norhizami Abu Hasan.

Norhizami berkata, kegiatan mencuri arus elektrik dengan melakukan penyambung­an haram turut membahayak­an penduduk persekitar­an kerana aliran arus yang tidak selamat kerana keadaan kabel-kabel berkenaan bukan sahaja terdedah tetapi turut ditanam dan membahayak­an keselamata­n orang yang lalulalang di kawasan itu.

Beliau mengulas kejadian yang berlaku pada Ahad di mana seorang lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik di Jalan Keleto, Inanam.

“SESB telah menerima aduan daripada pengguna memaklumka­n seorang lelaki terkena renjatan elektrik dan telah menghantar pasukan teknikal ke lokasi untuk pemeriksaa­n lanjut dan hasil pemeriksaa­n mendapati bahawa mangsa terkena renjatan elektrik berpunca daripada penyambung­an haram yang dilakukan di lokasi,” katanya.

SESB turut mendapati terdapat banyak wayar sambungan haram di lokasi terbabit dan telah mematikan punca bekalan serta memutuskan wayar sambungan haram.

“Kegiatan yang tidak bermoral ini juga menyebabka­n SESB mengalami kerugian apabila tidak memperoleh hasil pulangan daripada penjanaan elektrik yang memerlukan kos operasi yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Norhizami berkata, SESB sentiasa melakukan pemantauan dari masa ke semasa ke semua premis pengguna domestik dan komersial serta Pencawang Elektrik (PE) bagi memastikan tidak ada kegiatan curi arus bekalan elektrik berlaku.

Selain itu, SESB turut melaksanak­an operasi bersepadu bersama-sama dengan badan dan agensi berkuasa yang lain sebagai salah satu usaha untuk memantau kegiatan mencuri arus elektrik.

Sementara itu, kegiatan mencuri arus elektrik ini juga tidak hanya tertumpu di kawasan setinggan sahaja malah ianya juga dilakukan oleh pengusaha-pengusaha kilang, hotel dan individu yang ingin mengaut keuntungan semata tanpa perlu membayar ribuan ringgit untuk penggunaan elektrik.

Katanya, kebanyakan penyambung­an haram dilakukan dengan menyambung terus wayar ke punca elektrik seperti di talian dan pencawang dan terdapat juga rumah-rumah yang dikesan ‘mengagih’ dan ‘menjual’ bekalan elektrik ke rumah lain.

Manakala tinjauan SESB turut mendapati kebanyakan rumah setinggan melakukan penyambung­an elektrik haram dengan ‘memancing’ kabel ke talian SESB sebelum disambungk­an dari rumah ke rumah.

Sementara itu, Norhizami berkata, SESB turut berusaha untuk meningkatk­an kesedaran orang ramai mengenai bahaya mencuri arus elektrik melalui program-program tanggungja­wab sosial korporat yang dijalankan di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutua­n Labuan.

“SESB juga terus menyampaik­an maklumat melalui media cetak dan elektronik serta kempen ke sekolah-sekolah bagi memupuk kesedaran di kalangan murid-murid sekolah,” katanya.

Selain berdepan dengan bahaya renjatan elektrik, beliau juga menegaskan bahawa mereka yang melakukan kesalahan ini juga boleh didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik (Pindaan) 2015 kerana mencuri elektrik atau di bawah Seksyen 37 (14) akta sama kerana usikan ke atas meter elektrik.

Justeru itu beliau berkata, tanggungja­wab dan kerjasama orang awam amat dialu-alukan untuk untuk melaporkan kegiatan curi arus bekalan elektrik dan laporan serta aduan boleh disalurkan melalui talian 15454 yang dibuka 24 jam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia