Utusan Borneo (Sabah)

Penjaja akur ujian calitan COVID-19 sebelum memulakan perniagaan

-

SIBU: Barisan panjang ratusan penjaja menandakan mereka akur dengan prosedur operasi standard (SOP) iaitu menjalani ujian calitan semasa pengesanan kes aktif (ACD) COVID-19 di Dataran Sibu Fasa Satu di sini, pagi semalam.

Semua penjaja perlu menjalani ujian sebelum mereka dibenarkan memulakan perniagaan.

Mereka merupakan penjaja di Pasar Malam Sibu yang akan dibuka semula pada 9 April dan Pasar Tamu Taman Indah pada 10 April.

Seramai 272 orang telah menjalani ujian di Dataran Sibu Fasa 1 setakat jam 11 pagi semalam.

Sebahagian daripada mereka yang menjalani ujian juga berhasrat membuka gerai bazar Ramadan namun masih menunggu keputusan pihak atasan sama ada ia akan diteruskan atau dibatalkan.

Bagaimanap­un hujan lebat pada tengah hari sedikit sebanyak menjejaska­n kelancaran proses ACD yang bermula sejak jam 9 pagi.

Ahmad Rizaluddin, 44, yang menjual pisang goreng dan mi goreng di pasar malam antara yang berbaris menunggu giliran menjalani ujian.

“Saya agak lega sedikit setelah tiga bulan tidak menjalanka­n perniagaan.

“Ketika arahan penutupan sementara pasar malam, saya melibatkan diri dalam perniagaan dalam talian, jual barang ‘bundle’ untuk menampung pendapatan untuk keluarga saya,” katanya.

Ahmad yang merupakan generasi kedua peniaga Pasar Malam Sibu berharap apabila perniagaan dibuka semula, dia mampu meraih sekurang-kurangnya 50 peratus keuntungan berbanding sebelum tempoh pandemik COVID-19.

“Saya rasa wabak ini masih ada di tengah-tengah kita, perniagaan kita sememangny­a akan terjejas teruk, tetapi dengan pembukaan semula pasar malam ini ia adalah lebih baik daripada tidak memperoleh­i sebarang pendapatan,” katanya.

Manakala Wong Ing Hook, 49, yang hanya membantu ibunya menjual pakaian di pasar malam tersebut sependapat dengan Ahmad.

“Kini sudah tiga bulan pasar malam ditutup sementara.

“Kami tidak mempunyai pendapatan sama sekali.

“Nasib baik adik beradik ibu saya membantu kami mengatasi masa yang sukar dengan memberi kami wang untuk pemelihara­an kami,” katanya.

Pengumuman pihak Majlis Perbandara­n Sibu (MPS) bahawa pasar malam dibuka mulai hari Jumaat ini sangat dialu-alukan oleh mereka sekeluarga.

“Berita ini sangat menggembir­akan walaupun wabak COVID-19 masih berada di mana-mana.

“Jika kami tidak menjalanka­n perniagaan pasti sukar untuk kami mencari wang,” keluhnya.

Sementara itu, Ibrahim Lamat, 62, menaruh harapan tinggi untuk menjalanka­n perniagaan bazar Ramadan di Kampung Hilir.

“Saya harap orang ramai akan datang menyokong kami walaupun penularan COVID-19 masih menghantui kita,” kata Ibrahim yang enggan melepaskan peluang menjual air minuman jika bazar Ramadan dibenarkan kelak.

Sebelum ini, MPS telah bersetuju membenarka­n Pasar Malam Sibu dan Pasar Tamu Taman Indah dibuka dengan syarat semua mematuhi SOP semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti memakai pelitup separuh muka, memeriksa suhu dan mendaftar masuk menggunaka­n MySejahter­a Kod QR serta menjaga jarak fizikal.

 ??  ?? CALIT SAMPEL: Proses ujian sedang dijalankan di ACD Dataran Sibu Fasa 1 semalam.
CALIT SAMPEL: Proses ujian sedang dijalankan di ACD Dataran Sibu Fasa 1 semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia