Utusan Borneo (Sabah)

Terlibat judi haram dalam talian, lelaki kena denda

-

MIRI: Seorang lelaki didenda RM5,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret setelah mengaku bersalah menjalanka­n aktiviti tambah nilai perjudian haram secara dalam talian.

Tertuduh turut dikenakan denda tambahan RM5,000 atau sebulan penjara bagi peralatan (telefon bimbit) yang dirampas.

Mohamad Sahriel Abdullah, 24, dari Kampung Pujut Padang Kerbau di sini, telah didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dihukum di bawah Seksyen 4 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada RM,5000 serta tidak melebihi RM50,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun dan sebagai tambahan akan dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 untuk setiap mesin permainan yang dirampas.

Menurut keterangan kes, tertuduh sebagai penjaga kegiatan mesin perjudian berkompute­r didapati telah membantu menjalanka­n aktiviti tambah nilai perjudian haram secara dalam talian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4.35 petang, 1 Februari tahun ini di kaki lima sebuah lot di Jalan Picasso, Lutong.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia