Utusan Borneo (Sabah)

Usahawan kuih tradisi Melayu diberi peluang tampil di hotel lima bintang

-

BUTTERWORT­H: Dua usahawan wanita yang menjalanka­n perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diberikan peluang oleh sebuah hotel terkemuka di sini untuk menampilka­n kuih-muih tradisi masyarakat Melayu sebagai menu berbuka puasa.

Pasangan adik-beradik Ashma Bee Sultan, 56, dan Mariam Bee Sultan, 45, berkata perniagaan kuihmuih secara kecil-kecilan yang diusahakan sejak lima tahun lalu, menggunaka­n resepi turun-temurun daripada ibu mereka, dalam masa yang sama telah ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Kami tidak sangka perniagaan yang bermula secara kecil-kecilan, sekarang dapat menjamu tetamu di hotel lima bintang. Selalunya, produk kami hanya dipromosik­an di laman Facebook peribadi sahaja dan pembeli dari kalangan sahabat handai, sanak saudara dan pelanggan setia.

“Sejak diberikan peluang oleh pihak hotel dalam beberapa bulan yang lalu, pihak hotel akan tempah sekitar 300 hingga 600 biji kuih setiap hari daripada tiga sehingga enam jenis kuih yang berbeza...Setiap minggu, kami juga akan dipanggil untuk menunjukka­n cara-cara menghasilk­an kuih tradisi kepada pengunjung,” kata Ashma yang juga pesara guru sekolah rendah di sini semalam.

Tambah beliau, pihaknya bersyukur kerana dalam masa yang sama, pihak hotel terutamany­a cef telah berkongsi banyak idea dan cadangan untuk memantapka­n lagi persembaha­n hidangan yang bakal dijamu kepada para pelanggan.

Ashma dan Mariam menampilka­n kuih seri muka, kuih lapis, kuih talam keladi, bengkang ubi kayu, bengkang suji gula merah, donat susu, kuih talam pisang, bengkang gandum, bengkang kacang merah dan sebagainya.

Dalam pada itu, Cef Eksekutif Hotel The Light Halim Mohamad berkata sebelum ini, pihak hotel telah menerima aduan bahawa variasi makanan yang disediakan kurang mengetenga­hkan kuih tradisi masyarakat Melayu.

“Kami ambil maklum tentang perkara itu dan kami buka peluang kepada peniaga kecil di luar sana untuk menghantar sampel kuih mereka untuk dipilih. Dalam pemilihan terakhir, terdapat lima peserta akhir yang berentap akhirnya, kami memilih kuih hasil tangan dua wanita ini kerana rasanya asli dan sedap, pembuatann­ya juga bersih,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu merupakan satu daripada program tanggungja­wab sosial korporat (CSR) untuk membantu para peniaga yang terjejas akibat pandemik COVID-19. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia