Hutan Simpan Kuala Langat Utara ‘nadi kehidupan’ masyarakat Orang Asli
“HUTAN rosot? Bagi kami rosot adalah seperti padang pasir, langsung tak ada hidupan flora dan fauna. Dengan kata mudah, hutan miskin.
“Sedangkan, hutan ini masih lagi menjadi ‘nadi kehidupan’ buat kami sejak ratusan tahun dahulu sehinggalah sekarang. Malah, kualiti hutan ini yang berusia 8,000 tahun masih lagi terpelihara, ” agak tegas suara Samsul Anak Senin, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Orang Asli, Kampung Orang Asli Busut Baru. Hutan yang dimaksudkan beliau adalah Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).
Beliau berkata demikian kepada Bernama, ketika diajukan soalan tentang cadangan kerajaan negeri Selangor menyahwartakan HSKLU bagi tujuan pembangunan bercampur. Alasan yang diberikan untuk membangunkan HSKLU ialah hutan berkenaan adalah hutan rosot.
“Masyarakat Orang Asli suku kaum Temuan di sini tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan oleh kerajaan negeri Selangor dengan hutan rosot sedangkan kami tak sukar mendapatkan segala sumber hutan sama ada untuk kegunaan sendiri mahupun sebagai mata pencarian.
“Biasanya, tak sampai setengah jam dalam hutan (HSKLU), pelbagai sumber hutan pasti mudah diperolehi dan kami boleh buktikan hutan ini sebenarnya masih lagi kaya dengan khazanah alam,” tambah beliau.
Samsul turut membawa penulis menjejak sebahagian kecil hutan berkenaan, dengan disertai beberapa penduduk serta wakil Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA). Sepanjang perjalanan suasana meriah dengan bunyi kicauan unggas.
DIBAYANGI KEBIMBANGAN
“Dibayangi kebimbangan dengan pelbagai persoalan.” Begitulah kehidupan Samsul dan masyarakat Orang Asli suku kaum Temuan yang lain, yang sebelum ini tenang dan gembira bersama keluarga, apabila sampai ke pengetahuan mereka tentang cadangan penyahwartaan HSKLU.
Cadangan yang dikemukakan pada awal tahun 2020 sehingga kini, masih belum lagi ada kata putus.
Apakah HSKLU yang merupakan hutan paya gambut di selatan, Selangor yang sebelum ini berkeluasan 7,246.96 hektar dan kini hanya tinggal 957.63 hektar, masih tetap mahu dibangunkan?
Sekiranya rancangan berkenaan dilaksanakan, apakah pula nasib mereka yang sudah lama bergantung hidup pada hutan yang merupakan kawasan rayau dan tanah adat buat masyarakat Orang Asli berkenaan?
Apakah kemungkinan identiti mereka sebagai Orang Asli suku kaum Temuan akan terhapus, itu antara persoalan yang membelenggu penduduk di sini saban hari.
Hutan dan Orang Asli bagaikan irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Hutan adalah ‘rumah’ bagi masyarakat Orang Asli meskipun mereka sudah mempunyai rumah sendiri di sekitar kampung.
“Kalau benar hutan itu rosot, maknanya sudah tidak boleh hidup lagi di sini. Kami bukan hanya akan kehilangan sumber pencarian ekonomi tetapi juga kebudayaan, kraf tangan, identiti serta warisan masyarakat Orang
Asli Temuan.
“Segala budaya Orang Asli seperti bersewang, pembuatan alat muziknya, sumpit, semua bahannya ada di dalam hutan, ” tambahnya.
CETUS POLEMIK
HSKLU yang diwartakan pada 13 Mei 1927 dan terletak di Mukim Tanjung 12, Daerah Kuala Langat, Selangor, mula menjadi perhatian umum susulan daripada notis penyiasatan awam di bawah Seksyen 11 Akta Perhutanan Negara Enakmen (Pemakaian) 1985 (Subkaedah 7(2)) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada awal tahun 2020.
Notis tersebut yang bertujuan mendapatkan pandangan umum berikutan cadangan pemansuhan pewartaan HSKLU, mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat terutamanya komuniti Orang Asli yang bergantung hidup dengan hutan tersebut sejak ratusan tahun lamanya.
Bagi mereka, biarpun perancangan yang dikemukakan kerajaan negeri untuk projek pembangunan bercampur tidak meliputi keseluruhan HSKLU iaitu hanya sekitar 931.17 hektar daripada 957.63 hektar, namun ia tetap dianggap sebagai ancaman kepada kelangsungan hidup kira-kira 2,000 masyarakat Orang Asli yang menetap di empat kampung sekitar hutan tersebut.
Perkampungan ini merupakan kurniaan Sultan Selangor ke-empat, Almarhum Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah kepada masyarakat Orang Asli di situ. Ia terdiri daripada Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Bukit Cheeding, Busut Baru dan Bukit Kemandol.
Terletak di barat daya HSKLU, bukan sahaja perkampungan ini yang berada sekitar hutan tersebut. Ia juga dikelilingi dengan pelbagai pembangunan pesat guna tanah seperti pembangunan Gamuda Cove (sebelah selatan), perumahan Saujana Putra (sebelah utara), Lebuhraya ELITE (sempadan timur) dan ladang Bukit Cheeding (Boh Plantations Sdn Bhd), di sebelah barat laut.
Akibatnya kini, keluasan HSKLU kurang daripada 1,000 hektar dan menjadi kemusykilannya, ia masih mahu dibangunkan!
SUDAH PULIH
Bagi
‘menghalalkan’ penyahwartaan hutan paya gambut berkenaan, kerajaan negeri bertunjangkan kepada hujah bahawa 40 peratus daripada kawasan di situ sudah tidak lagi mempunyai hutan dara selain bertujuan mencegah berulangnya kebakaran hutan.
Berdasarkan rekod dari tahun 2012 sehingga 2017, seluas 359.60 hektar (888.21 ekar) kawasan hutan ini terlibat dalam kejadian kebakaran hutan dan inilah antara alasan yang diberikan kerajaan negeri Selangor untuk menjustifikasikan cadangan penyahwartaan tersebut.
Namun, bagi masyarakat Orang Asli yang menetap di sini, mereka sendiri ‘turun padang’ dan turut serta melakukan pelbagai cara bersama agensi berkaitan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar bagi memelihara dan memulihara HSKLU yang merupakan warisan nenek moyang mereka berusia ratusan tahun ini. Malah, gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) yang terdiri daripada kalangan pelbagai NGO alam sekitar seperti PEKA, Greenpeace Malaysia, sebelum ini ada mengeluarkan kenyataan bahawa
HSKLU masih lagi mempunyai 60 peratus kawasan hutan dara yang belum terjejas.
Manakala, 40 peratus kawasan hutan tersebut yang terkesan akibat kebakaran ditanam semula dan dipulihkan oleh masyarakat setempat dengan kerjasama agensi kerajaan berkaitan serta NGO.
Sahabat Hutan Gambut Kuala Langat Utara (SHGKLU) yang terdiri daripada komuniti Orang Asli yang tinggal berdekatan dengan hutan ini bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan organisasi lain untuk menjalankan aktiviti pemuliharaan di kawasan ini sejak tahun 2014.
“Mereka telah menanam lebih daripada 10,000 batang pokok dan membantu dalam pertumbuhan semula hutan semula jadi. Hasilnya, hutan ini sedangpulih dengan baik di dalam kawasan hutan simpan seluas 300 hektar yang sebelum ini terkesan kerana kebakaran,” menurut PHSKLU.
KAYA KHAZANAH TERANCAM
Tidak cukup mendengar kenyataan serta penjelasan nyataan daripada Samsul mahupun Exco PEKA, Damien Thanam Divean, penulis mengambil keputusan untuk melihat sendiri kawasan hutan yang dikatakan ‘rosot’ itu.
Dengan diiringi Samsul dan beberapa masyarakat Orang Asli, kami dibawa menjejaki kawasan HSKLU dengan melalui Kampung Orang Asli Busut Baru yang jaraknya hanya lebih kurang 10 meter dari hutan berkenaan.
Sangkaan awal penulis bahawa hutan ini tidaklah semeriah hutan lain yang dipenuhi dengan rimbunan pokok ternyata ‘meleset’ sebaik sahaja kaki menjejaki hutan tersebut.
“Sifat hutannya masih ada, banyak pokok besar, rotan berduri yang tidak terusik dan boleh tahan juga mencabarnya rentas hutan ini,” getus hati penulis.
Malah, Samsul turut mengingatkan penulis agar berhati-hati terutama dengan duri pokok rotan sepanjang perjalanan. Meskipun perjalanan merentas hutan hanyalah sekitar 3.5 kilometer sahaja, namun ia mengambil masa hampir dua jam. Ini kerana Samsul begitu teruja memberi penerangan mengenai pelbagai tumbuhan herba, pokok besar mahupun habitat flora.
Ini termasuklah tumbuhan herba seperti daun siang malam yang digunakan untuk menguatkan tubuh badan, tongkat ali (untuk tenaga orang lelaki) dan menariknya pelbagai spesies flora berharga seperti spesies pokok meranti ditemui di hutan ini.
Menurut Samsul, hutan ini begitu kaya dengan pokok Meranti Bunga (Shorea Teysmanniana) dan Meranti Bakau (Shorea uliginosa). Kedua-dua pokok ini disenaraikan sebagai ‘Terancam Kritikal’ dan ‘Terancam’ di bawah Senarai Merah Tumbuhan Malaysia — Dipterocarpaceae Semenanjung Malaysia.
KAYA FLORA DAN FAUNA
“Pokok meranti sangat penting buat komuniti suku Temuan. Selain digunakan untuk membuat rumah tradisional masyarakat Orang Asli, damarnya digunakan untuk aktiviti ritual sembahyang moyang dan kebudayaan.
“Apabila ada sebarang acara kebudayaan, kami akan masuk hutan dan ambil damar ini, kerana itulah, hutan ini begitu penting buat kami sebab ia melibatkan identiti dan keagamaan kami,” katanya.
Difahamkan, majoriti masyarakat Orang Asli di sini menganuti kepercayaan animisme manakala sebahagian yang lain beragama Islam dan lain-lain.
Istimewanya, hutan yang diklasifikasikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 ini tidak sekadar kaya dengan kepelbagaian flora tetapi juga adalah habitat spesies fauna terancam seperti beruang matahari, harimau kumbang, harimau dahan, spesies burung Blue Tailed Bee Eater Bird, landak dan sejenis katak Brown Marsha Frog.
Selain dua spesies endemik yang hanya ada di Selangor sahaja dan tidak ada di hutan lain sama ada di Malaysia mahupun global ialah Tupai Terbang Terkecil Selangor Pygmy Flying Squirrel dan Ikan Pelaga Liar Langat Red Fighting Fish.
Menurut kajian International Union for Conservation of Nature (IUCN), kali terakhir penyelidikan dibuat untuk populasi dan habitat tupai ini adalah pada 23 Ogos 2016 dan data diterima tidak mencukupi berikutan ia semakin sukar ditemui.
“Saya dan penduduk Busut Baru yang paling hampir dengan HSKLU memang sering kali nampak harimau kumbang dan tupai terbang kalau keluar rumah waktu malam. Biasanya, tupai ini boleh dilihat di atas pokok sekitar jam 7 malam ke atas.
“Ikan pelaga liar memang begitu banyak di sekitar parit HSKLU. Kalau kita menangguk ikan sekitar parit di sini, memang boleh dapat,” katanya.
Biarpun perancangan awal kami meminta penduduk kampung menangguk ikan tersebut di parit bagi melihatnya sendiri tidak dapat dipenuhi disebabkan kesuntukan masa, namun peluang bertembung dengan tempat berteduh beruang matahari begitu mengujakan.
Menurut Samsul, kewajaran pemeliharaan kepelbagaian spesies haiwan ini bukan sahaja untuk generasi akan datang tetapi juga penting kepada flora di situ. Ini kerana, fauna merupakan agen penyebaran biji benih paling ketara yang boleh membantu menyuburkan secara semula jadi kawasan tidak subur di situ akibat daripada kebakaran hutan sebelum ini.
TIDAK MAHU PEMBANGUNAN?
Ketika ditanya, apakah masyarakat Orang Asli tidak mahu menerima pembangunan, Samsul dan beberapa penduduk kampung menyatakan mereka bukanlah ‘antipemodenan’ kerana pembangunan memang amat diperlukan masa ini tetapi apa yang ingin ditekankan adalah melindungi dan mempertahankan hak masyarakat Orang Asli.
Ini kerana, penyahwartaan tersebut juga bermaksud merampas hak mereka menggunakan hutan sepertimana yang termaktub dalam Notis Pewartaan Hutan Simpan 1927.
“Bagi penduduk Orang Asli Kampung Busut Baru, pengalaman lalu mereka berpindah dari tempat asal di Kampung Busut Lama, Sepang pada 1993 untuk projek KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) adalah pengorbanan besar kami menerima pembangunan,” ujar Samsul.
Biarpun diberitahu sekiranya cadangan penyahwartaan itu dilaksanakan HSKLU akan digantikan dengan hutan lain, namun pengalaman perpindahan sebelum ini membuatkan mereka trauma. — Bernama