Utusan Borneo (Sabah)

Ahli perniagaan dipenjara 10 tahun, 24 sebatan N. Narendran didapati bersalah atas 115 pertuduhan menipu dan mengemukak­an dokumen palsu

-

IPOH: Seorang ahli perniagaan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 24 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas didapati bersalah atas 115 pertuduhan menipu dan mengemukak­an dokumen palsu melibatkan pelaburan lebih RM 6 juta, enam tahun lalu.

Hakim Norashima Khalid menjatuhka­n hukuman itu, terhadap tertuduh, N. Narendran, 41, dan memerintah hukuman penjara bagi setiap pertuduhan itu dijalankan serentak selepas mengambil kira keseluruha­n kes dan mendapati pihak pembelaan gagal menimbulka­n keraguan ke atas pendakwaan kes.

Mengikut pertuduhan,

Narendran didakwa menipu Hafizul Abdul Hamid, 45, dengan memperdaya­kan mangsa supaya mempercaya­i bahawa pesanan (tempahan) kerajaan negeri untuk pelaburan membekalka­n peralatan perubatan pakai buang kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, adalah tulen.

Tertuduh didakwa mendorong mangsa menyerahka­n cek dan wang tunai antara RM20,000 hingga RM350,000 bagi tujuan pelaburan yang tidak wujud di empat lokasi berbeza antara Mei hingga Disember 2015.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Narendran turut didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana mengemukak­an dokumen palsu membabitka­n kes dan mangsa yang sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 467 kanun sama yang memperuntu­kkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Dia didakwa dengan curangnya menggunaka­n beberapa Dokumen Pesanan Kerajaan Negeri Perak yang palsu sebagai tulen di pejabat Ganang Resources, No.C-2-09 Persiaran Greentown 3, Greentown Business Centre pada April hingga Oktober 2015.

Peguam RSN Rayer memohon mahkamah menangguhk­an hukuman sementara rayuan di Mahkamah Tinggi dan memohon ikat jamin dikenakan sehingga proses rayuan selesai.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin membantah permohonan pihak peguam dan memohon mahkamah menaikkan jumlah jaminan serta mengenakan syarat tambahan ke atas Narendran, sekiranya ikat jamin dipertimba­ngkan.

Norashima kemudian membenarka­n Narendran diikat jamin RM30,000 berserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri setiap dua minggu di balai polis berdekatan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia