Lelaki dipenjara lapan tahun angkara kes cabul dan dadah
KAHERAH: Mahkamah di Mesir kelmarin menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas seorang lelaki kerana menyerang secara seksual tiga gadis bawah umur dan memiliki dadah, dalam kes yang mencetuskan kemarahan dalam media sosial.
Ahmed Bassam Zaki, bekas pelajar sekolah paling elit di Mesir dan American University di Kaherah, dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun kerana menyerang secara seksual tiga gadis bawah umur dan setahun kerana memiliki dadah, menurut sumber kehakiman.
Dia boleh merayu bagi keputusan tersebut, tambah sumber berkenaan.
Zaki, 20-an, dijatuhkan hukuman pada Disember dengan tiga tahun penjara kerana menyerang secara seksual dua gadis oleh mahkamah ekonomi yang menghakimi jenayah siber.
Mahkamah mendapati dia telah menghantar beberapa gambar seksual kepada salah seorang gadis terbabit dan menghubungi beberapa kali seorang lagi gadis lain tanpa keizinannya.
Tuduhan terhadap Zaki muncul dalam talian pada tahun lepas dalam bentuk keterangan, kebanyakannya daripada rakan sekelas, yang diterbitkan akaun Instagram Assault Police.
Ia termasuk satu tuduhan merogol dan beberapa dakwaan mengenai serangan terhadap gadis dan wanita, sebahagiannya melibatkan ugutan.
Zaki telah ditangkap pada 4 Julai dan mengaku telah menyerang dan mengugut enam pengadu, salah seorang daripada mereka seorang gadis bawah umur.
Kes menghidupkan kembali satu kempen #MeToo di Mesir, di mana wanita mengadu tentang serangan seksual yang tersebar meluas, satu kesalahan jenayah sejak 2014.
Tinjauan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan kebanyakan wanita di negara konservatif terdedah kepada gangguan meliputi siulan atau pekikan mengejek kepada mencubit dan meraba atau lebih teruk daripada itu. — AFP