Utusan Borneo (Sabah)

Najib tidak tahu RM42 juta daripada SRC: Peguam

-

PUTRAJAYA:Mahkamah Rayuan semalam diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak tahu wang dalam akaun bank beliau dipindah masuk daripada SRC Internatio­nal Sdn Bhd.

Ini kerana bekas perdana menteri itu, pada sepanjang masa, percaya bahawa wang dalam akaun AmBank beliau merupakan baki daripada sumbangan keluarga diraja Arab Saudi.

Peguam beliau Harvinderj­it Singh berhujah demikian di hadapan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

“Kira-kira RM164 juta dipindahka­n ke dalam akaun baharu beliau selepas akaun lama yang digunakan untuk menerima sumbangan ditutup pada Ogos 2013. Najib percaya wang itu merupakan sumbangan daripada Raja Arab Saudi.

“Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar kes itu berkata Najib semestinya tahu wang RM42 juta yang didepositk­an ke dalam akaun beliau datang daripada SRC. Ini satu kekhilafan,” katanya.

“Hakim perbicaraa­n terkhilaf ketika menyamakan ‘pengetahua­n’ selepas wang dipindahka­n dengan ‘ketidakjuj­uran’. Elemen mens rea ’ketidakjuj­uran’ bagi pecah amanah adalah berdasarka­n ‘niat’, bukan ‘pengetahua­n’,” katanya.

Harvinderj­it berkata ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low adalah orang yang memindahka­n wang daripada SRC ke dalam akaun Najib tanpa pengetahua­n Najib.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhka­n hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan membabitka­n pecah amanah, pengubahan wang haram dan menyalahgu­nakan kedudukan melibatkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC Internatio­nal.

Harvinderj­it berkata pendakwaan semasa menutup kes mereka hanya menunjukka­n bahawa Jho Low mencampuri urusan akaun Najib.

Ketika ini Abdul Karim mencelah bertanya: Mengapa Jho Low yang tidak mempunyai sebarang kuasa, sibuk mengambil tahu (mengenai akaun

Najib)?

Harvinderj­it menjawab bahawa sejak 2011, wang diterima sebagai sumbangan derma daripada Arab, dan Jho Low, menerusi saluran bukan diplomatik, telah mengatur pertemuan di antara Raja Arab Saudi dan Najib pada 2010.

“Raja Arab Saudi menzahirka­n sokongan agar Najib kekal berkuasa untuk memastikan Malaysia tidak jatuh ke tangan pihak ekstremis. Baginda memaklumka­n akan menyokong Najib, walaupun baginda tidak nyatakan bahawa sokongan adalah dalam bentuk sumbangan derma,” kata peguam itu yang menambah beberapa bulan kemudian Jho Low yang memberitah­u bahawa Raja Arab Saudi akan menyalurka­n derma.

Harvinderj­it berkata Najib kemudian membuka akaun semasa dan akaun simpanan di AmBank kerana beliau menjangka menerima hingga US$200 juta dalam bentuk derma daripada Arab Saudi.

Sebelum ini, Pengurus Cawangan AmBank Raja Chulan R. Uma Devi memberi keterangan bahawa berdasarka­n rekod bank antara 2011 dan 2013, jutaan dolar Amerika Syarikat diremit ke dalam akaun Najib. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia