SMK Labuan laksanakan PdP secara bersemuka dengan teratur
Seramai 98 ibu bapa dan guru telah menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK Labuan 2021 yang diadakan secara maya pada Sabtu lalu.
Mesyuarat yang bermula jam 8.30 hingga 10 pagi itu dihadiri Pengetua SMK Labuan Ismail Abdullah, Yang Dipertua PIBG Haji Md Yusof Haji Chuchu dan Naib Yang Dipertua PIBG Nordin Ahmad.
Hadir sama AJK PIBG, ibu bapa dan guru-guru.
Dalam ucapannya, Ismail yang juga Penasihat PIBG SMK Labuan berkata, strategi SMK Labuan mendepani cabaran persekolahan dalam norma baharu dengan pematuhan dan pembudayaan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) seperti dalam garis panduan persekolahan dalam norma baharu.
Katanya, Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka semua Tingkatan dilaksanakan dengan teratur dan mematuhi SOP supaya suasana terkawal dan tidak lagi kembali kepada sesi PdPR.
Selain itu, Ismail berkata, Program Kecemerlangan PT3, SPM dan STPM akan diteruskan dengan norma baharu, seperti melaksanakan aktiviti Bengkel Teknik Menjawab, Kelas Tambahan, Program Khas Lulus 100% SPM & STPM, program untuk murid sederhana dan program untuk murid cemerlang.
“Pemerkasaan sahsiah murid supaya murid-murid dapat mengikuti norma baharu dengan tertib dan patuh kepada semua SOP yang ditetapkan.
“Kokurikulum dalam norma baharu akan diberi perhatian untuk memberi peluang murid terlibat dan mendapat markah kokurikulum yang sewajarnya,” katanya penuh harapan.
Ismail juga menghargai segala bantuan dan sokongan PIBG kepada sekolah menerusi sumbangan PIBG RM50 setiap keluarga, sumbangan RM20 setiap murid Tingkatan 3, 5 dan 6 untuk program kecemerlangan PT3, SPM dan STPM dan sumbangan material.
“Saya mewakili guru-guru mengucapkan terima kasih kepada PIBG yang menyumbang 11 buah kanopi untuk keperluan lokasi transit murid-murid sesi petang.
“Sokongan moral dan semangat kepada guruguru yang gigih berusaha untuk kebaikan anak-anak. Bantuan berfokus kepada murid/keluarga yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu, Md Yusof berkata, PIBG merupakan satu medium yang berkesan untuk mengeratkan lagi hubungan antara pihak sekolah dengan komuniti.
Justeru, katanya, PIBG sewajarnya bergerak seiring dengan perkembangan sekolah dan menjadi penyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan sesebuah sekolah.
Beliau berkata, banyak kecemerlangan dan kejayaan yang telah pihak sekolah cipta sama ada dalam bidang akademik mahupun dalam bidang kokurikulum.
“Kejayaan dan kecemerlangan ini menggambarkan kejayaaan usaha guru-guru di sekolah kita yang tidak pernah berasa putus asa dalam mendidik anak-anak kita,” katanya.
Katanya, dalam kita berhadapan dengan pandemik yang agak membimbangkan kita semua, kita masih sedaya upaya berusaha dalam mencapai kejayaan secara holistik dan perkara ini menggambarkan usaha dan doa kita serta kerjasama yang terjalin kukuh antara guru dan ibu bapa selama ini diberkati oleh Allah SWT.
“Sokongan yang padu daripada semua pihak merupakan senjata penting bagi menjana kecemerlangan anak-anak kita, oleh yang demikian, bagi pihak PIBG akan menyokong segala usaha pihak sekolah dalam mengadakan pelbagai aktiviti yang bersesuaian dengan norma baharu.
“Memang tidak dapat disangkal lagi, sehingga kini pihak PIBG juga banyak memberi sumbangan dalam bentuk kewangan untuk pelbagai aktiviti kurikulum dan kokurikulum sekolah.
“Ucapan terima kasih juga saya tujukan kepada ibu bapa dan bekas guru serta bekas pelajar yang turut membantu menjayakan pelbagai program anjuran
PIBG dan SMK Labuan selama ini,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang komited terhadap tugas yang diamanahkan.
Sementara itu, antara keputusan mesyuarat ialah bersetuju melalui cadangan serta sokongan dan telah memutuskan kadar sumbangan dikekalkan sebanyak RM50 setiap keluarga. Kadar ini dikekalkan sejak tahun 2012.
Turut dipersetujui kutipan sumbangan RM20 bagi setiap murid Tingkatan 3, 5 dan 6 untuk Program Kecemerlangan PT3, SPM dan STPM.
SemogaPIBGSMKLabuan terus menyokong dan membantu usaha-usaha sekolah demi kejayaan dan kecemerlangan murid-murid.
Kerjasama yang padu sangat penting apatah lagi dalam suasana pandemik COVID-19 yang masih menjadi cabaran utama kepada sekolah dan ibu bapa.
Jelasnya, sekolah terus menjunjung slogan SMK Labuan Juara: Setiap Murid Bernilai.