MOSTI optimis pendaftaran fasa kedua program imunisasi terus meningkat
Kementerian ains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) optimis jumlah pendaftaran untuk fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di seluruh negara akan terus meningkat melalui bantuan anggota Sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac).
Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata pendaftaran fasa kedua agak mencabar kerana melibatkan warga emas yang kebanyakannya tidak mahir dengan penggunaan aplikasi MySejahtera, namun masalah itu dapat ditanggani melalui bantuan sukarelawan MyVac, terutamanya di negeri Pantai Timur.
“Sukarelawan MyVac akan memberi tumpuan di lokasi orang ramai seperti di pasar dan kampung-kampung untuk mendekati golongan sasar agar mereka tidak ketinggalan.
“Banyak negeri yang telah memulakan gerakan sukarelawan MyVac ini dan kita berharap ia dapat membantu kerajaan mencapai matlamat dalam program imunisasi ini agar ekonomi negara dapat dipulihkan segera,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Makan Malam Perdana Media Kuala Terengganu yang dihadiri lebih 150 pengamal media di sini, malam kelmarin.
MyVac yang dilancarkan pada 15 Mac lepas adalah kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), MOSTI, Kementerian Belia Sukan (KBS) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membantu melancarkan pengurusan pemberian vaksin kepada masyarakat.
Setakat ini seramai 8,500 belia sudah mendaftar sebagai sukarelawan MyVac yang akan ditugaskan di 607 Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) di seluruh negara selepas fasa kedua bermula 17 April ini.
Selain mengesan individu yang layak menerima vaksin tetapi tidak berdaftar dengan aplikasi MySejahtera, sukarelawan itu juga terlibat dalam membantu petugas barisan depan di PPV — Bernama