Kerajaan ambil pendekatan tepat, efisien perangi COVID-19: Rubiah
KUCHING: Kerajaan mengambil pendekatan tepat dan efisien dalam usaha membendung jangkitan COVID19 daripada terus menular di negara ini, kata Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang.
Beliau berkata, ia bukan hanya tertumpu dari segi keselamatan dan kesihatan rakyat malah turut menumpukan kepada sektor ekonomi negara.
“Antara langkah utama dijalankan kerajaan bagi mengekang penularan virus tersebut ialah dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kerajaan memulakan PKP fasa pertama pada 18 Mac diikuti fasa kedua, ketiga, keempat seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kemudian disambung kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Penyerahan Geran Peruntukan dan Aktiviti Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau Daerah Asajaya kelmarin.
Seramai 32 penerima mewakili surau dan masjid masing-masing menerima geran berjumlah RM4,000 untuk masjid manakala RM3,000 untuk surau.
Rubiah berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan kedua-dua kerajaan sama ada di peringkat pusat dan negeri bagi melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi negara.
“Antara langkah-langkah yang dilaksanakan kerajaan persekutuan ialah memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan sebagainya,” tambah beliau lagi.
Manakala tegasnya, kerajaan melaksanakan Proklamasi Darurat bagi memutuskan penularan jangkitan demi keselamatan rakyat sekali gus menepis dakwaan segelintir pihak yang sengaja mempolitikkan usaha berkenaan.