2,000 penduduk kampung syukur masalah bekalan air bersih selesai
KLUANG: Kira-kira 2,000 penduduk di Kampung Bukit Nyamuk, Kampung Pinggir dan kawasan sekitar di Simpang Renggam, dekat sini, melahirkan rasa syukur apabila akhirnya masalah bekalan air bersih yang dihadapi mereka sejak kira-kira empat tahun lepas, kini selesai dengan pembinaan sebuah pam air di kawasan berhampiran kediaman mereka.
Salah seorang penduduk Mohd Nazhir Ariffin, 43, berkata masalah itu dihadapi mereka sejak tahun 2017 disebabkan pelbagai faktor seperti pencemaran sungai serta tekanan air rendah, dan sinar penyelesaian mula kelihatan apabila kerja-kerja pembinaan pam itu dilaksanakan pada Jun lepas, dan siap hujung bulan lepas.
“Masalah itu pada mulanya kami adukan kepada pemimpin setempat, yang kemudiannya mengadakan satu pertemuan antara penduduk kampung, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ranhill SAJ,” katanya ketika ditemui di tapak projek pembinaan pam air di Jalan Johor Bahru - Ayer Hitam, semalam.
“Bekalan air kini boleh didapati secara terus daripada paip, dan bukannya seperti sebelum ini apabila penduduk terpaksa menadah air biasanya pada waktu tengah malam,” katanya.
Sementara itu, Onn Hafiz ketika ditemui berkata cadangan untuk membina sebuah pam air bagi menyelesaikan masalah itu dicetuskan hasil pertemuan antara pihaknya bersama penduduk dan Ranhill SAJ.
“Saya berterima kasih kepada Ranhill SAJ kerana prihatin dengan aduan penduduk setempat dan menyelesaikan masalah berkenaan dengan segera,” katanya. — Bernama