PAS Sandakan rayu sumbangan orang ramai jayakan Misi Kasih Ramadan
SANDAKAN: Yang Dipertua PAS Sandakan Sahar Abdul Majid membuat rayuan kepada orang ramai untuk menyumbang wang ringgit bagi menjayakan Misi Kasih Ramadan yang dilaksanakan pihaknya sepanjang bulan Ramadan ini.
Katanya, antara program yang dilaksanakan dalam misi berkenaan ialah sumbangan juadah berbuka puasa, sumbangan sahur, sumbangan barang dapur dan sumbangan pek susu yang majoriti penerimanya adalah dalam kalangan fakir miskin serta golongan memerlukan.
“Orang ramai yang berhajat menyumbang boleh disalurkan ke akaun Bank Islam Dewan Pemuda PAS Kawasan Sandakan (10043010001846),” jelasnya.
Sahar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah berkata demikian semasa menyampaikan sumbangan pek berbuka puasa kepada asnaf di sekitar Kampung
Perpaduan, Letat dan setinggan Harmoni dekat sini semalam.
Kata Ahli Majlis Perbandaran Sandakan itu, sebanyak 250 pek berbuka puasa telah diedarkan dalam misi ini dan disalurkan kepada fakir miskin yang kurang berkemampuan dan golongan memerlukan.
Dalam program sama, pihaknya turut menyeru orang ramai untuk menghubungkan silaturahim dan kasih sayang khususnya ketika berhadapan dengan bulan Ramadan.
“Selain menjaga amal fardu seperti solat dan puasa, kita juga perlu banyakkan amal lain yang melibatkan masyarakat seperti yang kita laksanakan hari ini iaitu menghulurkan sumbangan berbuka kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Hadir bersama dalam program ini ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah Mustaman Mustain, Ketua Pemuda PAS Sandakan Mohd Ramlan Pandi dan ahli-ahli cawangan PAS Sandakan.