Program CSR RTM dekati masyarakat kurang mampu
MIRI: Program Jelajah Ramadan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Miri dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah inisiatif bersama mendekati masyarakat yang kurang bernasib baik.
Pengarah Penyiaran Negeri SarawakAbdull Hadi Mohd Yusuff berkata, ia salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) RTM bagi meringankan beban kumpulan sasar.
“Kerjasama baik dengan NGO membolehkan pelbagai program kemasyarakatan dapat dilaksanakan malah mampu memasyarakatkan peranan RTM dengan komuniti setempat,” katanya pada Majlis Jelajah Ramadan RTM Miri di Auditorium RTM
Miri semalam.
Abdull Hadi berkata, Program Jelajah Ramadan RTM dengan kerjasama syarikat permotoran KM Mobil Sdn Bhd (Isuzu) Miri sepatutnya diadakan di Kampung Terahad Bekenu dekat sini.
Bagaimanapun, oleh kerana situasi semasa pandemik COVID-19 lokasi program diubah ke premis RTM Miri dengan hanya menjemput ketua-ketua kampung.
“Walaupun berdepan pandemik COVID-19, inisiatif terus diambil untuk kita menyampaikan bantuan menerusi program CSR kepada penduduk terpilih,” jelasnya.
Menurutnya, hasil kerjasama strategik ini juga Jelajah Ramadan mampu dilaksanakan dengan sokongan padu syarikat permotoran KM Mobil Sdn Bhd (Isuzu) Miri.
Katanya, syarikat itu menyumbangkan barangbarang keperluan dapur bernilai RM300 untuk sebuah keluarga daripada 11 keluarga terpilih dari Kampung Terahad Bekenu.
Terdahulu, pihaknya turut mengagihkan 100 bungkus bubur pedas dan kurma kepada penduduk sekitar pasar Lutong dan Kampung Lereng Bukit.
Turut hadir Pengurus Stesen RTM Miri Lydia Paya Rinyud, Pengurus Wilayah KM Mobil Sdn Bhd Tan Kheng Leong dan Ketua Kampung Kampung Terahad Tinggal Bak.