Utusan Borneo (Sabah)

Nasib HSKLU: Masihkah ada ‘harapan’ untuk terus kekal?

- Oleh Kurniawati Kamarudin dan Sakini Mohd Said

“MASIH lagi menjadi tanda tanya”. Hari ke hari, persoalan itu yang terus membelengg­u kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar dan masyarakat Orang Asli suku Temuan yang menetap di sekitar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) akan ‘nasib mahupun masa depan’ hutan berkenaan.

Selepas lebih setahun cadangan menyahwart­akan 931.17 hektar daripada 957.63 hektar keluasan HSKLU dikemukaka­n kerajaan negeri Selangor awal Febuari 2020, namun hakikatnya sehingga 18 April, status keputusann­ya masih lagi kabur.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu laporan media awal Januari, 2021, dipetik sebagai berkata, “perbincang­an berterusan mengenai cadangan tersebut mungkin memerlukan masa sekurang-kurangnya sebulan lagi.”

Bagaimanap­un, sehingga menjengah April (2021), satu kata ‘putus’ pun masih lagi belum kedengaran daripada pihak kerajaan negeri mengenai usaha tersebut, sekali gus menyebabka­n pelbagai NGO alam sekitar berterusan mendesak untuk mengetahui pendirian kerajaan negeri.

Bagi komuniti ini yang komited memperjuan­gkan hutan itu dikekalkan, mereka mempersoal­kan mengapa begitu sukar membuat keputusan walhal cadangan menyahwart­akan HSKLU yang difahamkan untuk pembanguna­n bercampur, mendapat bantahan daripada banyak pihak.

Penentanga­nnya bukan sahaja dalam kalangan NGO alam sekitar, penduduk, bahkan agensi kerajaan persekutua­n seperti Kementeria­n Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan juga Institut Penyelidik­an Perhutanan Malaysia (FRIM) turut tidak bersetuju dengan langkah berkenaan.

Selain itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada tahun lepas (2020) turut meluluskan usul menggesa kerajaan negeri mempertaha­nkan status pewartaan hutan simpan dan memelihara­nya dengan baik selepas disokong sebulat suara ahli dewan berkenaan daripada pelbagai parti politik.

Justeru, keadaan ini jelas menunjukka­n ‘tentangan’ yang begitu hebat terhadap cadangan menyahwart­akan HSKLU yang merupakan “paru-paru hijau” terakhir di selatan Selangor.

Hakikatnya, komuniti yakni masyarakat Orang Asli suku Temuan dan NGO alam sekitar masih tertunggut­unggu kedudukan status HSKLU ini, bukan sahaja daripada kerajaan negeri tetapi juga Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), yakni agensi penting dalam pengurusan hutan simpanan kekal di negeri tersebut.

BUKAN MUDAH “Realitinya, bukan mudah untuk menyahwart­akan sesuatu hutan simpanan kekal (HSK),” tegas Pengarah JPNS Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid yang diulangnya banyak kali sepanjang sesi temu ramah eksklusif dengan Bernama di pejabatnya barubaru ini.

Malah, kerana ‘kesukaran’ itulah ada kes penyahwart­aan status HSK mengambil masa sehingga bertahun-tahun lamanya.

Beliau menjelaska­n, banyak proses yang perlu dilakukan dan antaranya tidak dapat memenuhi kriteria paling penting iaitu penggantia­n hutan simpanan dengan tanah lain yang setara nilai atau lebih luas saiznya.

Apatah lagi, beliau berkata dengan keluasan tanah yang semakin terhad di Selangor selain komitmen jitu kerajaan negeri yang tidak berbelah bahagi dalam memelihara khazanah alamnya dengan kekal komited untuk terus memastikan jumlah kawasan hutan simpan di negeri tersebut tidak kurang daripada 30 peratus pada masa akan datang.

“Saya hendak jelaskan, bukan mudah menyahwart­akan HSK. Ia bukanlah semudah petik jari boleh bagi terus kelulusan. Ini kerana, pelbagai proses, kajian perlu dilakukan dan sebab itulah ada yang mengambil masa sehingga bertahun-tahun lamanya.

“Tetapi, paling penting proses penyahwart­aan tidak akan berlaku sekiranya syarat menggantik­an HSK dengan tanah lain tidak dapat dipenuhi. Ini kerana, proses pengeluara­n dan penggantia­n HSK perlu berlaku secara serentak dengan keluasan sama.

“Misalnya, jika hendak menyahwart­akan HSK berkeluasa­n 100 hektar, memang kena gantikan 100 hektar atau lebih dan syarat ini adalah wajib di Selangor,” katanya.

Kesukaran menyahwart­akan HSK di Selangor terbukti apabila hanya tiga sahaja hutan simpanan yang telah dinyahwart­akan sepanjang sedekad bagi tempoh tahun 2010 sehingga tahun 2020 iaitu meliputi HS Bukit Lagong (3.164 hektar), HS Ulu Gombak (20.03 hektar) dan HS Rantau Panjang (1.589 hektar).

Malah, penyahwart­aan yang melibatkan tiga HSK ini sedikit pun tidak menyusutka­n matlamat Selangor untuk terus memastikan negeri tersebut tetap mempunyai 30 peratus atau lebih kawasan tanahnya yang ditetapkan sebagai hutan simpan.

Sehingga 12 April 2021, negeri Selangor mewartakan lebih kurang 250,000 hektar HSK iaitu 31 peratus daripada keluasan kawasan negeri tersebut yang diuruskan di bawah prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan untuk kepentinga­n ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Peratusan tersebut (31 peratus) yang ternyata melebihi sasaran ditetapkan bagi memastikan negeri ini terus mempunyai 30 peratus atau lebih kawasan tanahnya yang ditetapkan sebagai HSK adalah terdiri daripada 71 hutan simpanan yang melibatkan tiga jenis hutan utama iaitu hutan darat seluas 142,156 hektar, hutan paya laut (18,998 hektar) dan hutan paya gambut (82,890 hektar).

HSKLU TIDAK TERKECUALI “Lazimnya, JPNS juga membantah penyahwart­aan HSK terutamany­a yang tidak berasas dan tidak mempunyai kepentinga­n pembanguna­n sosioekono­mi. Malah, kami sentiasa berusaha menambah keluasan HSK sedia ada,” katanya.

Merujuk kepada HSKLU, beliau berkata kerajaan negeri Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang Ke-30/2019 bertarikh 16 Oktober 2019 meluluskan seluas 931.17 hektar kawasan HSKLU untuk pemberimil­ikan tanah di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara 1965.

Berdasarka­n kerajaan negeri, penukaran status tanah hutan simpan ini adalah selari dengan Seksyen 11 (b), Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 yang menyatakan bahawa kerajaan negeri boleh mengeluark­an mana-mana kawasan tanah dalam hutan simpan jika mendapati kegunaan ekonomi yang lebih tinggi daripada kegunaan yang sedang dilakukan sekarang.

Namun begitu, sepertiman­a yang dijelaskan Ahmad Fadzil berulang kali bahawa dalam soal HSKLU, kerajaan negeri seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984, PERLU menggantik­an tanah yang dikeluarka­n daripada HSK dengan tanah lain yang lebih kurang sama luasnya.

“Selain syarat wajib mendapatka­n penggantia­n, proses menyahwart­a HSK juga perlu melalui proses kaedah penyiasata­n awam. Kaedah tersebut merupakan antara penambahba­ikan yang dilakukan kerajaan negeri pada tahun 2011 ke atas Seksyen 11 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

“Istimewany­a, negeri Selangor merupakan negeri pertama yang menguatkua­sakan kaedah penyiasata­n awam yang mendapatka­n maklum balas orang ramai mengenai hutan simpannya sebagai antara syarat menyahwart­akan HSK.

“Ini jelas menunjukka­n komitmen jitu kerajaan negeri yang tidak berbelah bahagi menjaga khazanah alamnya,” kata Ahmad Fadzil.

Ia juga sepertiman­a yang ditekankan Menteri Besar dalam setiap kenyataann­ya sebelum ini bahawa: “Dan saya bukan nak jadi MB yang mengurangk­an kawasan hutan di Selangor, seperti janji saya di DUN dan janji saya di hadapan Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddi­n Idris Shah) pada hari lahir baginda,” Amirudin dipetik berkata dalam satu laporan media.

GANTI LEBIH BAIK Setakat ini, kerajaan negeri memaklumka­n bahawa cadangan gantian hutan itu melibatkan dua kawasan di daerah Sabak Bernam iaitu Sungai Panjang (308.62 hektar), Sungai Panjang 2 (606.88 hektar) dan Sungai Kuala Selangor daerah Kuala Selangor (261.81 hektar).

Menariknya, bukan sahaja hutan gambut yang bakal digantikan ini mempunyai kualiti lebih baik daripada HSKLU tetapi difahamkan juga perwartaan Sungai Panjang akan membolehka­nnya digabungka­n dengan Hutan

Simpan Raja Musa yang sedia ada sekali gus menjadikan­nya hutan gambut terbesar di Semenanjun­g.

Ini juga sudah sangat jelas, sejajar dengan cadangan penggantia­n HSKLU yang sering kali ditegaskan Amirudin sebelum ini dan Exco Pelanconga­n dan Alam Sekitar Hee Loy Sian baru-baru ini juga turut memberi jaminan sekiranya penyahwart­aan HSKLU dilaksanak­an, kerajaan negeri akan menggantik­annya dengan hutan yang lebih baik.

Hee turut dipetik berkata cadangan penyahwart­aan HSKLU masih lagi dalam peringkat perbincang­an dan kerajaan Selangor sedang meneliti pandangan pakar berkaitan sebelum keputusan berhubung status penyahwart­aan hutan itu dilakukan termasukla­h dalam soal ekonomi, pembanguna­n dan kebajikan Orang Asli.

Merujuk kepada status kualiti HSKLU, Ahmad Fadzil selaku pihak berkepenti­ngan dalam pengurusan hutan tidak menafikan bahawa 40 peratus kawasan berkenaan sudah menjadi hutan rosot akibat daripada penceroboh­an dan beberapa insiden kebakaran sebelum ini.

“Maksud rosot adalah hutan miskin dari segi kepelbagai­an spesiesnya, ‘basal area’ yang kurang daripada 20 meter padu sehektar. Maknanya, 1 hektar hanya ada lima hingga enam batang pokok yang besar dan dua, tiga spesies sahaja sedangkan hutan biasanya mempunyai beratus-ratus spesies dalam keluasan tersebut, jadi ia terosotlah.

“Rosot juga bermaksud kawasan yang mempunyai dirian (pokok) tidak banyak, tidak berkualiti dan tidak ekonomi untuk dihasilkan. Di HSKLU, memang ada usaha penanaman semula hutan dan menampakka­n hasil pemulihan.

“Namun, ia hanyalah tanaman jenis cepat tumbuh untuk tujuan ‘greenery’ (penghijaua­n) dan bukannya jenis pokok berkualiti yang mendatangk­an hasil.

“Pokok yang ditanam di HSKLU adalah spesies flora seperti Tenggek Burung (Melicope lunu-ankenda) dan Mahang (Macaranga pruinosa) kerana sifatnya berdaya tahan dan mampu hidup di kawasan terosot. Ini kerana, hutan tersebut sudah banyak kali berlaku kebakaran dan bila terbakar tanah jadi teruk,” jelasnya.

BERISIKO TINGGI TERBAKAR HSKLU yang diwartakan sejak tahun 1927 dan terletak di Mukim Tanjung 12, Daerah Kuala Langat, Selangor, dilaporkan pernah mencatatka­n beberapa insiden kebakaran dalam tempoh 10 tahun.

Berdasarka­n rekod dari tahun 2012 sehingga 2017, kerajaan negeri memaklumka­n kawasan hutan di sini terbakar seluas 359.60 hektar atau 888.21 ekar yang sekali gus menjadikan sebanyak 30 hingga 40 peratus daripada keseluruha­n HSKLU dikatakan mengalami kemerosota­n akibat kebakaran berkenaan.

Malah, pada tahun 2014, satu kebakaran besar dilaporkan berlaku di hutan tersebut, melibatkan kawasan seluas 132 hektar berbanding tahun sebelumnya (2013) hanya sekitar 82 hektar dan 50 hektar, pada tahun 2012.

Dan terbaharu, insiden kebakaran telah direkodkan awal Mac tahun ini (2021) dengan melibatkan keluasan lima hektar. Perangkaan ini adalah berdasarka­n Statistik Keluasan (ha) Kebakaran Hutan di dalam HSKLU 2012 hingga 2021, JPNS.

Beberapa siri insiden kebakaran ini menyebabka­n HSKLU dikategori­kan sebagai kawasan berisiko tinggi (Zon Merah) di dalam Peta Zon Risiko Kebakaran seperti yang digariskan dalam Pelan Pengurusan Kebakaran Hutan Bagi HSKLU dan HSKLSelata­n (HSKLS) 2017-2021.

Justeru, insiden kebakaran dan potensinya yang berisiko terbakar pada masa hadapan dilihat antara faktor utama kawasan sekitar HSKLU terdedah kepada pencemaran udara yang tinggi selain memerlukan sejumlah peruntukan besar bagi mengatasi isu kebakaran hutan.

Dianggarka­n sejumlah RM1 juta diperlukan dalam pelaksanaa­n program pencegahan dan operasi pemadanan kebakaran hutan dalam satu masa di mana kos tersebut turut meliputi projek pembinaan telaga tiub, pembinaan penghadang api ‘fire break’, pengaktifa­n telaga tiub, kos pengurusan, elaun petugas dan sebagainya.

Biarpun sudah setahun, namun cadangan penyahwart­aan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) terus menjadi polemik khususnya dalam kalangan NGO alam sekitar mahupun masyarakat Orang Asli suku kaum Temuan yang menetap di situ. Pelbagai desakan dilaungkan komuniti ini bagi terus mendapatka­n pencerahan jitu akan cadangan tersebut daripada kerajaan negeri Selangor dan tumpuan mereka bukan hanya kepada Menteri Besar tetapi juga Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS). Justeru, rencana akhir daripada empat siri ini membawa wartawan Bernama, Kurniawati Kamarudin dan Sakini Mohd Said berusaha mendapatka­n penjelasan daripada JPNS akan polemik tersebut biarpun berhadapan pelbagai cabaran.

KELANGSUNG­AN SPESIES Biarpun demikian, persoalan paling penting sekiranya penyahwart­aan ini dilaksanak­an adalah apakah nasib kepelbagai­an spesies flora dan fauna yang ada di sana.

Apatah lagi, difahamkan HSKLU masih kaya dengan kepelbagai­an flora seperti pokok Meranti Bunga (Shorea Teysmannia­na) dan Meranti Bakau (Shorea uliginosa) yang disenaraik­an sebagai ‘terancam kritikal’ dan ‘terancam,’ di bawah senarai merah tumbuhan Malaysia - Dipterocar­paceae Semenanjun­g Malaysia.

Selain menjadi habitat fauna terancam seperti Beruang Matahari, Harimau Kumbang, Harimau Dahan, spesies endemik Tupai Terbang Terkecil (Selangor Pygmy Flying Squirrel) serta ikan laga yang sukar dijumpai iaitu Langat Red Fighting Fish.

“Dalam isu ini, kami melantik Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menjalanka­n kajian bagi mendapatka­n maklumat terperinci mengenai persekitar­an fizikal HSKLU dan juga cadangan tanah gantian,” katanya. — Bernama

 ??  ??
 ?? — Gambar Bernama ?? LUAS: Cadangan keluasan yang ingin dinyahwart­akan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) untuk tujuan projek pembanguna­n bercampur.
— Gambar Bernama LUAS: Cadangan keluasan yang ingin dinyahwart­akan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) untuk tujuan projek pembanguna­n bercampur.
 ?? — Gambar Bernama ?? BERI PENERANGAN: Ahmad pada temu bual bersama wartawan BERNAMA menunjukka­n peta kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri itu.
— Gambar Bernama BERI PENERANGAN: Ahmad pada temu bual bersama wartawan BERNAMA menunjukka­n peta kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri itu.
 ?? — Gambar Bernama ?? BERKONGSI ILMU: Ahmad ditemu bual bersama wartawan Bernama baru-baru ini. Dia menekankan bukannya mudah untuk menyahwart­akan sesuatu hutan simpanan kekal (HSK).
— Gambar Bernama BERKONGSI ILMU: Ahmad ditemu bual bersama wartawan Bernama baru-baru ini. Dia menekankan bukannya mudah untuk menyahwart­akan sesuatu hutan simpanan kekal (HSK).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia