Utusan Borneo (Sabah)

259 pelajar sekolah menengah di Kelantan positif COVID-19 dalam tempoh dua minggu

-

KOTA BHARU: Seramai 259 atau 56 peratus daripada 464 individu yang dikesan positif COVID-19 di Kelantan adalah pelajar sekolah menengah, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin.

Beliau berkata, jumlah selebihnya adalah guru, kakitangan sekolah, murid sekolah rendah, kanak-kanak berusia di bawah tujuh tahun dan individu lain berusia lebih 19 tahun.

Angka itu berdasarka­n ujian COVID-19 yang dilakukan dalam tempoh dua minggu iaitu antara 3 hingga 16 April lepas, katanya.

Menjelaska­n perkara itu, Dr Zaini berkata, seramai 111 orang (24 peratus) yang dikesan positif adalah murid sekolah rendah berumur antara tujuh hingga 12 tahun.

“Bagi kanak-kanak berusia kurang daripada tujuh tahun, ada seramai lapan orang (dua peratus) serta 86 orang (19 peratus) pula adalah individu berusia lebih 19 tahun (termasuk guru dan kakitangan sekolah).

“Daripada 464 kes itu daerah Kota Bharu mencatatka­n jumlah paling tinggi iaitu 189 kes positif diikuti Tumpat (113), Tanah Merah (55), Pasir (36), Machang (20), Bachok (17), Pasir Puteh (15), Kuala Krai (8), Jeli (7) dan Gua Musang (4),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, hasil kajian yang dilakukan mendapati jangkitan pantas yang berlaku di sekolah disebabkan pelbagai faktor, antaranya, ia mudah tersebar terutamany­a di asrama.

“Pihak sekolah juga dilihat ada yang masih gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan baik sehingga menyebabka­n berlakunya jangkitan,” katanya.

Jelasnya, berdasarka­n situasi semasa di negeri ini termasuk kewujudan kluster baharu, pihak JKNK menjangkak­an kes positif COVID-19 pada minggu ini berkemungk­inan mencecah antara 200 hingga 300 kes sehari. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia