Utusan Borneo (Sabah)

Penjaga kambing cedera terkena tembakan, pengawal peribadi dan dua rakan ditahan

-

PARIT BUNTAR: Polis menahan seorang pengawal peribadi dan dua rakannya selepas terlepas tembakan yang mengenai seorang penjaga kambing sehingga mengakibat­kan kecederaan pada bahagian perut dalam kejadian di tepi sungai Jalan Swee Lee, Kuala Kurau di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Anuar Othman berkata pihak polis menerima panggilan mengenai mangsa berusia 23 tahun yang dirawat akibat terkena tembakan daripada unit kecemasan Hospital Parit Buntar pada kira-kira 6.30 petang.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika pengawal peribadi berumur 33 tahun itu sedang minum arak bersama mangsa dan dua lagi rakan mereka iaitu pemilik syarikat lori berumur 37 tahun dan penjaga stor berusia 48 tahun.

Katanya, pengawal peribadi yang bekerja di sebuah syarikat keselamata­n di Kuala Lumpur itu bertemu dengan tiga sahabatnya untuk upacara sembahyang kematian seorang rakan mereka dan dalam pertemuan itu, lelaki terbabit mengeluark­an sepucuk pistol miliknya jenis CZ 75 dengan niat hendak menunjuk-nunjuk kepada mangsa.

“Awalnya lelaki tersebut telah mengeluark­an kelopak peluru pistol tanpa menyedari masih terdapat sebutir peluru di dalam chamber lalu menarik picu pistol hingga menyebabka­nnya meletup dan terkena mangsa yang berdiri di hadapannya pada jarak lebih kurang satu meter,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Anuar berkata mangsa yang mengalami luka pada bahagian kiri perut telah mendapatka­n rawatan awal di Hospital Parit Buntar dan keadaannya dilaporkan stabil. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia