Utusan Borneo (Sabah)

Daripada perunding perisian kepada seorang pendaki

-

KUALA LUMPUR: Tertarik dengan aspek fizikal dan pengalaman penuh cabaran dalam pendakian, seorang pengurus dan pengatur laluan (route setter), Izzudin Husin, membuat keputusan besar dalam hidupnya dengan meninggalk­an kerjayanya dalam industri teknikal yang menjanjika­n pendapatan lumayan, untuk menceburka­n diri dalam industri pendakian di luar negara.

Melalui pendakian, Izzudin, 29, dapat melakar pelbagai pengalaman pahit manis di tanah air sebelum berpindah ke Singapura untuk meneruskan impiannya dan bekerja di gimnasium pendakian iaitu Climb Central di republik itu.

Beliau percaya bahawa ada sesuatu yang terapeutik mengenai sukan itu, menerusi pengalaman yang diperoleh termasuk terkandas dalam ribut petir selama 16 jam, meminum air yang kelihatan meragukan dan menyaksika­n rakannya patah tangan di negara asing yang penjagaan kesihatann­ya agak teruk.

Walaupun pernah memenangi beberapa pertanding­an tempatan termasuk kejuaraan negeri untuk Selangor (Bouldering and

Speed) dan Sarawak (Bouldering) pada 2016, pendakiann­ya di luar negara tidak memberi nasib yang baik kerana beliau gagal disebabkan kecederaan pada kaf rotator.

“Saya kemudian memutuskan untuk lebih fokus dalam mendorong gred pendakian di luar dan mengatur objektif lebih besar (pendakian tembok besar) di tempat-tempat terpencil,” katanya kepada Bernama.

Ketika ditanya mengenai pengalaman­nya terperangk­ap dalam ribut petir selama lebih 12 jam, Izzudin berkata kejadian itu berlaku di Pulau Tioman pada 2016 semasa beliau mencuba pendakian epik di Dragon Horn dalam keadaan cuaca tidak begitu baik.

“Saya agak baru dalam pendakian tembok besar ini dan sekadar mencuba nasib, tetapi sepanjang pendakian, kami sedar bahawa kami tidak mempunyai air dan makanan yang mencukupi tetapi kami tetap mendaki ke puncak.

“Kemudian hujan turun tanpa henti dan trek pendakian kami berubah menjadi air terjun, keadaan menjadi bahaya apabila petir menyambar hampir di tempat kami dan memutuskan untuk berlindung dalam satu ruang kecil kerana ribut berterusan hingga tengah hari keesokanny­a,” katanya.

Menjelas lanjut, Izzudin berkata walaupun ia agak menakutkan dan berbahaya, kejadian itu pasti tidak akan dilupakan kerana bukan semua orang dapat merasai pengalaman sebegitu.

Selain itu, beliau turut berkongsi kejayaan solonya apabila berjaya mendaki Gua Damai, Batu Caves berketingg­ian kira-kira 90 meter tanpa tali dan alat belay, bersendiri­an. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia