Utusan Borneo (Sabah)

Rakyat tidak jaga SOP tambah beban kepada kesihatan negara: Sultan Johor

-

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah sikap segelintir rakyat yang memandang ringan mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan menganggap seolah-olah wabak COVID-19 telah berakhir, hanya akan menambah beban kepada kemudahan penjagaan kesihatan negara.

Menyatakan kebimbanga­n baginda mengenai situasi COVID-19 yang kini berada pada tahap kritikal, Sultan Ibrahim bertitah jumlah kes tidak menunjukka­n tanda-tanda penurunan dan beberapa negeri, termasuk Johor, kini menjadi negeri berisiko tinggi.

“Setiap kali apabila kita berasakan bahawa keadaan mula pulih dari penularan COVID-19, namun sebaliknya jumlah kes yang dicatatkan kembali meningkat lagi. Umpama mula menimbulka­n rasa putus asa dan tiada kepedulian lagi.

“Rakyat tidak boleh mengabaika­n SOP walaupun mereka telah menerima suntikan vaksin terhadap virus tersebut. Ingatlah untuk menjaga diri dan satu sama lain. Walaupun sistem penjagaan kesihatan kita diurus tadbir dengan baik, namun semuanya mempunyai batas. Jika beban yang terpaksa ditanggung menjadi keterlalua­n, pasti akan membawa akibat yang tidak dapat dibayangka­n,” menurut baginda.

Titah baginda dimuat naik menerusi Facebook rasmi Sultan Ibrahim, di sini semalam.

Sultan Johor juga berharap agar agensi penguatkua­saan akan bertindak lebih tegas dan adil terhadap mereka yang melanggar SOP ditetapkan, sekali gus tidak boleh membiarkan keadaan menjadi tidak terkawal, seperti yang sedang berlaku di India sekarang.

“Saya juga berharap kerajaan negeri akan mengambil keputusan yang bijaksana dan bertindak demi kepentinga­n rakyat. Saya menggesa rakyat Johor agar segera mendaftar untuk menerima suntikan vaksin. Percayalah kepada pakar kesihatan yang sahih, bukan khabar angin,” titah baginda.

Sebagai Sultan Johor, baginda menjelaska­n amat mengambil berat akan kebajikan dan keselamata­n Bangsa Johor dan tidak mahu lagi mendengar kisah sedih keluarga yang kehilangan ahli mereka yang tersayang akibat wabak ini.

“Sekiranya perintah kawalan pergerakan yang ketat diperlukan untuk menyelamat­kan nyawa, biarlah ia dilaksanak­an buat kali terakhir tetapi berkesan, dengan memastikan orang ramai juga memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan peraturan yang dikuatkuas­akan.

“Pengorbana­n mesti dibuat untuk kebaikan semua. Jangan kita menyesal kemudian hari, tiada gunanya,” titah baginda. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia