Utusan Borneo (Sabah)

Ketiadaan Sandro da Silva dan Uche Agba menjejaska­n jentera serangan SUFC dalam aksi Liga Perdana Malaysia 2021

- Oleh Rusnan Mustafa

KUCHING: Pengendali Sarawak United FC (SUFC) Elavarasan Elangowan mahu para pemain pasukan itu kekal konsisten untuk perlawanan seterusnya jika mahu kekal memegang takhta Liga Perdana Malaysia 2021.

Beliau menegaskan, ketiadaan dua pemain import Sandro da Silva dan Uche Agba sedikit menjejaska­n jentera serangan pasukan itu.

"Sandro masih dalam proses pulih daripada kecederaan, jadi akan ambil masa mungkin minggu depan kita lihat bagaimana dan Uche terpaksa balik ke negaranya kerana ibunya meninggal dunia, ini sudah tentu memberi kesan kepada jentera serangan yang perlu kita usahakan lagi.

"Justeru, kita kena konsisten kalau kita nak kekal di tangga teratas liga, kita kena usaha lagi untuk perlawanan seterusnya," katanya selepas perlawanan.

Meskipun kekurangan pemain import, Elavarasan tetap memuji semangat juang para pemain Sarawak United pada perlawanan menentang Johor Darul Tazim (JDT) II yang berjaya mengutip tiga mata penuh di Stadium Hang Jebat, Melaka dengan kemenangan 1-0 malam kelmarin.

Jaringan tunggal penyerang berpengala­man, Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali dengan panggilan Matyo sudah cukup untuk melonjakka­n Sarawak United kembali merampas takhta Liga Perdana 2021.

Matyo meledak gol kemenangan pada minit ke-85 selepas kedua-dua pasukan kebuntuan gol pada babak pertama perlawanan.

Sarawak United kini mengumpul 20 mata, berkelebih­an dua mata berbanding pesaing utama, Negeri Sembilan FC.

Mengulas tentang perlawanan itu, beliau berkata, kedua-dua pasukan bermain dengan baik untuk memburu kemenangan.

"Kita terpaksa menurunkan pemain import pada masa kedua kerana kita lihat ada ruang untuk kita dan pada minit terakhir kita dapat jaringkan gol sekali gus membolehka­n kita meraih tiga mata yang amat penting bagi kita.

"JDT II ini bukan pasukan biasa, mereka bermain dengan baik, kedua-dua pasukan berusaha menjaringk­an gol, nampak kedua-dua pasukan bermain dengan (komitmen) 100 peratus," jelasnya.

Sandro masih dalam proses pulih daripada kecederaan, jadi akan ambil masa mungkin minggu depan kita lihat bagaimana dan Uche terpaksa balik ke negaranya kerana ibunya meninggal dunia, ini sudah tentu memberi kesan kepada jentera serangan yang perlu kita usahakan lagi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia