Utusan Borneo (Sabah)

Hospital Tawau kekurangan bekalan darah

Tidak ramai orang awam tampil menderma sekarang berbanding sebelum COVID-19

- Oleh Hamzah Sanudin DERMA DARAH: Antara orang awam yang datang menderma darah.

TAWAU: Unit Perubatan Transfusi (UPT) Hospital Tawau mengalami kekurangan bekalan darah sejak penularan wabak COVID-19 berlaku di daerah ini.

Pegawainya Dr Neo Jia Yin berkata, bekalan darah yang disimpan di Hospital Tawau mengalami penurunan sejak akhir-akhir ini.

“Pada masa ini, tidak ramai orang awam yang tampil untuk menderma darah berbanding sebelum berlakunya pandemik COVID-19.

“Jika dilihat puratanya, kita kekurangan sehingga 200 hingga 300 penderma setiap bulan,” katanya ketika ditemui dalam kempen derma darah anjuran Gereja Anglikan St Patrick, di sini

Menurutnya, setiap minggu penggunaan darah di sini dianggarka­n sehingga 200 beg dan sekiranya tiada yang tampil menderma, sudah pasti bekalan darah di Hospital Tawau tidak mencukupi.

“Situasi itu amat membimbang­kan kerana jika berlaku kes-kes yang memerlukan darah dengan segera seperti kemalangan dan ibu bersalin yang mengalami tumpahan darah akan berhadapan kesukaran untuk menyelamat­kan nyawa.

“UPT Hospital Tawau berharap, pihak jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam tampil membantu menderma darah dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu, pihak pengurusan Gereja Anglikan St Patrick komited untuk membantu Hospital Tawau dalam mengatasi masalah kekurangan bekalan darah.

Pengelola kempen derma darah Pastor Lim Bun Hui berkata, kempen ini merupakan program tahunan gereja sejak dari dulu lagi.

“Kadang-kadang kami akan menjalanka­nnya dua kali setahun mengikut keperluan Tabung Darah Hospital Tawau.

“Kempen ini selalunya diadakan di pekarangan Gereja, namun sejak pandemik berlaku, kita jalankan di ruangan UPT Hospital Tawau sahaja,” katanya.

Katanya, pihak gereja tahu bahawa kempen derma darah tidak banyak dilakukan ketika ini, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.

“Pada kebiasaany­a dalam kempen sebelumnya, kita dapat mengumpulk­an lebih 100 beg darah, namun kali ini sasaran hanya 60 beg sahaja supaya tidak berlakunya perkumpula­n ramai di sini,” katanya.

Sementara itu, Martina Matinus berkata, dia sangat gembira dapat menderma darah kerana dapat membantu lebih ramai orang.

“Saya datang sendiri setelah mendengar di radio dan surat khabar berkenaan kempen derma darah pada hari ini.

“Saya mempunyai jenis darah ‘O’ dan yakin darah ini sangat diperlukan di Hospital Tawau kerana tidak ramai orang yang dikurniaka­n jenis darah ini,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? LIM BUN HUI
LIM BUN HUI
 ??  ?? DR NEO
DR NEO
 ??  ?? MARTINA
MARTINA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia