Trafik penumpang udara 2021 merosot 22.9-29.1 peratus
Ia berikutan suku pertama 2021 menyaksikan hanya 1.7 juta penumpang sahaja menggunakan perkhidmatan udara
“Penurunan 91.1 peratus tahun ke tahun daripada 19.1 juta penumpang pada suku pertama tahun 2020 ini menunjukkan jumlah trafik penumpang yang rendah bagi sepanjang tahun. MAVCOM
KUCHING: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah meramalkan penguncupan trafik penumpang antara 22.9 peratus dan 29.1 peratus tahun ke tahun, yang diterjemahkan kepada 18.9 hingga 20.6 juta penumpang.
Menurut satu kenyataannya semalam, ia berikutan suku pertama tahun 2021 menyaksikan hanya 1.7 juta penumpang sahaja menggunakan perkhidmatan udara.
“Penurunan 91.1 peratus tahun ke tahun daripada 19.1 juta penumpang pada suku pertama tahun 2020 ini menunjukkan jumlah trafik penumpang yang rendah bagi sepanjang tahun.
“Keperluan perjalanan udara turut terjejas akibat pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan perjalanan yang dijangkakan berkuat kuasa sepanjang tahun 2021,” katanya.
Sebelum ini, pihak MAVCOM telah meramalkan trafik penumpang udara bagi tahun 2021 akan pulih antara 94.2 peratus dan 100.3 peratus tahun ke tahun bersamaan dengan 51.7 hingga 53.3 juta penumpang.
Demikian ulasan edisi Disember 2020 laporan industri Waypoint, MAVCOM yang meramalkan bahawa ramalan itu berpunca daripada pemulihan sektor penerbangan secara beransur-ansur akibat sekatan perjalanan antarabangsa yang dijangka diangkat pada 2021.
Pihak MAVCOM juga telah menyemak semula ramalan trafik penumpang udara tersebut disebabkan peningkatan semula kes COVID-19 negara dan antarabangsa baru-baru ini.
Selain itu, ramalan pihaknya itu juga mempertimbangkan faktor beban dan kapasiti tempat duduk untuk tahun ini.
Oleh kerana pasaran domestik menyumbang sebahagian besar daripada sektor penerbangan untuk separuh kedua 2021, MAVCOM juga menjangkakan bahawa pasaran domestik akan terus menjadi pemacu utama dalam menghidupkan semula industri penerbangan.
“Ini termasuk dengan pandangan bahawa gelembung perjalanan atau ‘travel bubble’ antara negeri-negeri
PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih dibenarkan.
“Industri penerbangan dijangka terus menghadapi kesan pandemik COVID-19 sambil ketidakpastian mengancam pemulihan.
“Pada Februari lalu, Kerajaan Malaysia telah melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara berfasa,” tegasnya semalam.
Sebelum penularan wabak COVID-19, kebanyakan pelancong udara terdiri daripada orang dewasa yang sihat.
Pelaksanaan vaksin untuk orang dewasa yang sihat bakal dijalankan pada fasa terakhir, iaitu fasa ketiga yang akan berlangsung dari Mei 2021 hingga Februari 2022.
Malangnya, kelalaian dalam mematuhi langkahlangkah kesihatan awam juga boleh meningkat seiring dengan usaha pemvaksinan yang menyebabkan gelombang jangkitan baharu. Ini akan mengakibatkan pemulihan industri lebih lambat lagi.
Tambahan pula, pembatalan penerbangan kerana penutupan sempadan antara negeri dan antarabangsa pada 2020 serta isu pembayaran balik dapat mempengaruhi kesediaan orang ramai untuk melakukan perjalanan udara.
Pada separuh kedua 2020, proses pembayaran balik, pembatalan penerbangan dan penjadualan semula penerbangan merupakan tiga aduan teratas yang dicatatkan oleh Suruhanjaya.
Pembukaan semula sempadan antarabangsa negara adalah tertakluk kepada kelulusan Majlis Keselamatan Negara dan perkembangan terbaru COVID-19 tempatan serta negara-negara lain.
Jelasnya, pengesahan sijil vaksinasi dan pelaksanaan prosedur sperasi standard (SOP) bagi kuarantin di seluruh dunia mesti dilaksanakan untuk pembukaan semula sempadan bagi memulakan perjalanan antarabangsa.
Malaysia sedang mengkaji pelaksanaan pas kesihatan digital yang diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Pas tersebut boleh memaklumkan kepada penumpang mengenai vaksin, ujian kesihatan serta langkah-langkah lain yang perlu diperhatikan sebelum melakukan perjalanan.
Selain itu, pas itu juga membolehkan para pelancong berkongsi hasil ujian kesihatan dan status vaksinasi mereka dengan cara yang selamat serta memudahkan lagi perjalanan selepas pandemik COVID-19 dalam usaha memacu pergerakan penumpang antarabangsa.
Tambahan lagi, gelembung perjalanan udara antara negara-negara Zon Hijau juga dapat meningkatkan trafik penumpang.
Pengerusi Eksekutif MAVCOM Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, dengan mengambil kira cabaran yang dihadapi industri penerbangan, pihak MAVCOM telah menyemak semula ramalan trafik penumpang dan menjangkakan terdapat penurunan dalam trafik penumpang untuk tahun 2021.
Faktor-faktor seperti jangka masa pelaksaanaan pemvaksinan, langkah-langkah kesihatan awam yang lebih ketat atau dilonggarkan serta pembukaan semula sempadan udara antarabangsa yang selamat dan perubahan permintaan untuk perjalanan udara akan terus mempengaruhi kepantasan pemulihan sektor ini.
Justeru, MAVCOM akan terus memantau dan menilai perkembangan semasa industri penerbangan pada tahun ini dengan teliti.
MAVCOM tetap akan berusaha mengurangkan impak pandemik COVID-19 dengan menyokong pemulihan sektor penerbangan negara kembali ke tahap prapandemik.
Laporan Waypoint dikeluarkan setiap setengah tahun dan boleh didapati di laman web MAVCOM di www. mavcom.my.