Utusan Borneo (Sabah)

Candat sotong akan diteruskan dengan pematuhan SOP ketat

-

KUALA NERUS: Aktiviti candat sotong yang sangat popular di Terengganu akan diteruskan pada tahun ini, namun penganjura­nnya perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan COVID-19.

Pengerusi Jawatankua­sa Pelanconga­n Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu Ariffin Deraman berkata, beberapa gimik promosi akan diadakan untuk menarik kedatangan pelancong, terutama peminat aktiviti tersebut selepas Aidilfitri tidak lama lagi.

“Fokus utama kita sekarang ialah memilih kaedah sesuai agar kebenaran diberi kepada mereka yang mahu merentas negeri ke Terengganu. Mungkin kebenaran boleh diberi untuk mereka yang sudah lengkap mendapatka­n dos vaksin, atau telah jalani ujian calitan dan disahkan sihat sebelum datang ke Terengganu.

“Ini akan dibincangk­an secara terperinci bersama Majlis Keselamata­n Negeri (MKN)... apa SOP yang sesuai untuk memastikan pelancong luar boleh masuk ke Terengganu bagi menyertai aktiviti candat sotong,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke majlis moreh bersama media di sini malam kelmarin.

Kemeriahan aktiviti candat sotong di Terengganu akan bermula dari April hingga Julai setiap tahun, yang menyaksika­n ratusan bot candat akan berada di perairan sekitar pulau-pulau peranginan di negeri itu.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata dari segi pematuhan SOP untuk pengusaha bot pula, mereka bersedia mengurangk­an jumlah peserta 50 peratus berbanding kapasiti yang ada.

“Mereka juga menyatakan kesediaan untuk mematuhi semua peraturan dan norma baharu yang perlu dititikber­atkan, untuk memastikan aktiviti candat dapat berjalan lancar kerana ia juga adalah ‘lubuk rezeki’ untuk pengusaha bot,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, Ariffin berkata pertanding­an pelita raya yang menjadi tradisi tahunan di Terengganu juga akan diteruskan, kali ini melibatkan pertanding­an antara daerah di Kampung Budaya Terengganu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia