Utusan Borneo (Sabah)

902 kes keganasan rumah tangga dari Januari-April

-

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 902 kes keganasan rumah tangga dilaporkan, dengan kebanyakan­nya berpunca daripada masalah tekanan ekonomi akibat punca pendapatan terjejas, kata Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata berdasarka­n statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga, sebanyak 5,260 kertas siasatan telah dibuka membabitka­n kes keganasan rumah tangga bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lepas.

Dalam tempoh sama juga, statistik Talian Kasih kementeria­n itu menerima sebanyak 2,540 panggilan berkaitan kes keganasan rumah tangga.

“Mungkin ada ramai yang terjejas pendapatan atau hilang kerja. Apabila mereka tinggal di rumah, bila nak keluar ada had pergerakan dan sebagainya, maka banyak antara mereka luahkan tekanan perasaan (keganasan) itu kepada keluarga,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran Masjid Sebagai Pusat Transit Keganasan Rumah Tangga di Masjid Wilayah Persekutua­n, di sini semalam.

Rina berkata statistik itu ternyata menunjukka­n isu keganasan rumah tangga memerlukan intervensi dan kerjasama pelbagai pihak, dengan itu pihaknya antara lain bekerjasam­a dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutua­n (JAWI) bagi menjadikan masjid sebagai pusat transit keganasan rumah tangga.

Beliau berkata dua masjid dipillih sebagai perintis program iaitu Masjid Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur dan Masjid Al Ghufran Pinggiran Taman Tun Dr Ismail di sini dengan golongan wanita tanpa mengira bangsa dan agama yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga boleh mendapatka­n perlindung­an di masjid berkenaan.

Masjid itu menyediaka­n kemudahan bilik asrama sedia ada di masjid, keperluan asas diri serta makan minum sepanjang keberadaan mereka di situ.

“Dalam menyantuni mangsa keganasan rumah tangga di pusat transit ini kelak, setiap mangsa akan dibekalkan dengan kit persalinan mengandung­i baju dan seluar, selimut, tuala mandi, peralatan mandi dan keperluan asas wanita,” katanya.

Rina berkata seramai 19 pegawai JAWI juga telah menjalani sesi latihan Skuad Wanita Anti Jenayah (WAJA), iaitu satu modul latihan dibangunka­n Jabatan Pembanguna­n Wanita dengan kerjasama Institut Sosial Malaysia sebagai rujukan oleh pegawai JAWI yang dilantik bertugas di pusat transit itu nanti.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata projek berkenaan adalah antara inisiatif di bawah Pelan Pengimarah­an Masjid-Masjid Wilayah Persekutua­n 2020-2024 melalui teras Sosial, Komuniti dan Alam Sekitar dengan penjenamaa­n Masjid Prihatin.

Beliau berkata ia bertujuan menyerlahk­an lagi fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat yang menyediaka­n pelbagai kemudahan kepada segenap lapisan masyarakat meliputi keperluan psikososia­l dan spritual.

Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail pula berkata 12 masjid telah dipilih menjadi pusat aduan dan khidmat kaunseling kepada mangsa-mangsa keganasan rumah tangga dan mereka yang memerlukan khidmat nasihat, sokongan psikologi dan kaunseling, antaranya Masjid Al Imam Al Ghazali, Bandar Manjalara Kepong dan Masjid Al Qurtubi, Sri Segambut. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia