Utusan Borneo (Sabah)

Dua peniaga didakwa miliki pistol dan peluru dibicara 14-16 Jun depan

-

KOTA KINABALU:

Dua peniaga lelaki diarahkan untuk hadir ke Mahkamah Sesyen di sini pada 14 - 16 Jun tahun ini atas dua pertuduhan bersama memiliki pistol dan 13 peluru tanpa lesen yang dijumpai di dalam laci papan pemuka sebuah kereta.

Hakim Azreena Aziz menetapkan tarikh berkenaan pada Isnin terhadap Siew Gong Shun dan Ngu Chee Hui sebagai sebutan semula kes.

Pada pertuduhan pertama, Siew, 48 dan Ngu, 35, didakwa memiliki Revolver .357 Magnum tanpa lesen di tebing Sungai Lubok di

Weston, Beaufort pada 13 Ogos jam 6 pagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, mereka didakwa memiliki peluru tanpa lesen pada waktu dan tempat yang sama.

Kesalahan itu adalah di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Goldam Hamid dan Batholomew Jingulam.

Sementara itu, tertuduh pertama, Siew, juga akan akan dibicara pada tarikh yang sama kerana tuduhan lain iaitu memiliki pisau pada waktu dan tempat yang sama.

Siew didakwa di bawah Seksyen 6 Akta Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Dalam perbicaraa­n sebelumnya pada 24 Ogos 2020, mahkamah tidak memberi jaminan untuk kes bersama mereka, manakala bagi kes Siew, mahkamah membebaska­nnya dengan jaminan RM10,000 deposit RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia