Utusan Borneo (Sabah)

Karya genre indie pupuk budaya membaca generasi muda

- Oleh Soon Li Wei

‘KELABU’, ‘Anarki di Kuala Lumpur’, ‘Ngeri’ adalah antara judul yang tidak asing lagi buat peminat buku Indie yang begitu popular sekitar tahun 2006.

Fenomena ‘indie’ yang tercetus daripada penulis bebas dalam industri buku Malaysia pernah mencapai zaman kegemilang­an suatu ketika dahulu sehingga dapat menaikkan kembali minat membaca dalam kalangan generasi muda.

‘Indie’ berasal daripada perkataan bahasa Inggeris iaitu ‘independen­t’ yang bermaksud bebas, merdeka dan tidak bergantung kepada orang lain.

Kajian interim Perpustaka­an Negara Malaysia (PNM) terhadap budaya membaca mendapati, rakyat Malaysia membaca sebanyak 15 buah buku setahun pada tahun 2014, berbanding hanya lapan buah buku setahun pada tahun 2010.

Peningkata­n itu secara tidak langsung dikaitkan dengan sumbangan penerbit buku indie ketika zaman kegemilang­annya, dari tahun 2006 hingga tahun 2016, dalam menarik minat membaca dalam kalangan generasi muda.

Namun, di sebalik kerancakan industri buku indie di Malaysia, tidak kurang juga ada yang mempertika­ikan kewujudann­ya walaupun ia berjaya mengembali­kan minat membaca dan memberi lebih banyak pilihan buku kepada golongan pembaca muda.

Ketua Pegawai Operasi dan Penerbitan ‘The Patriots’, Syazrul Aqram berkata, penerbitan indie sering dipandang serong oleh sesetengah pihak kerana gaya penulisann­ya bebas dan kadangkala melibatkan bahasa pasar serta kasar.

“Tidak terkecuali ada yang mempertika­ikan buku indie dan melabelkan­nya sebagai perosak bahasa dan bahan bacaan bercorak ‘lawan arus’.

“Akan tetapi, penerbit indie kini juga cenderung dalam menerbitka­n buku umum. Secara khususnya sesuatu bahan bacaan bercorak indie hanya boleh digunakan untuk buku yang diterbit 100 peratus oleh penulis itu sendiri untuk sasaran pembaca mereka yang tertentu,” katanya kepada Bernama dalam wawancara baru-baru ini.

GENERASI MUDA ‘LAWAN ARUS’

Menurut Syazrul Aqram, generasi muda sering dikenali dengan minat terhadap bahan yang ‘rare’ dan luar biasa yang mampu menarik perhatian mereka untuk mendalami bahan tersebut.

Beliau menjelaska­n, generasi muda selalunya mahukan kelainan dan memandangk­an buku indie ‘melawan arus’, ia dapat menarik minat mereka untuk menjadikan­nya sebagai bahan bacaan santai, tambahan gaya bahasa yang bersahaja dan dekat dengan cara hidup mereka.

“Sesetengah buku indie diselit dengan perkataan keras, bercampur aduk dengan bahasa Inggeris serta bahasa orang muda yang mungkin menimbulka­n ketidaksel­esaan dalam kalangan penulis tradisiona­l dan pejuang bahasa.

“Namun itulah sebenarnya kebebasan bersuara yang mahu dibawa oleh penulis indie, segala emosi dan apa yang difikirkan diolah terus ke dalam penulisan mereka supaya dekat dengan jiwa orang muda,” katanya, sambil menambah, penggiat indie juga wajar diberi peluang untuk membangunk­an industri buku tempatan.

“Ketika pandemik COVID-19, kebanyakan penerbit buku berhadapan dengan pelbagai kesukaran dan memerlukan sokongan antara satu sama lain. Tapi kita percaya bahawa pandemik ini juga turut mengajar kita untuk tidak bergerak seorang malah haruslah bersamasam­a berganding bahu untuk mengatasi cabaran itu.

“Tidak dapat dinafikan buku indie memberi banyak pilihan kepada pembaca khususnya golongan muda dan menyumbang kepada memupuk budaya membaca, oleh itu semua pihak perlu melihat sisi positif indie ini sebagai bentuk yang boleh diharapkan untuk memajukan modal insan,” katanya.

PILIH BAHAN DENGAN BIJAK

Pengasas Kelab Buku ‘The

Classics Challenger­s’, Nazli Anim Mohd Ghazali berkata, tidak salah untuk menyokong golongan muda untuk membaca buku indie sekiranya ia dapat menanam sifat suka membaca dalam kalangan mereka.

Bagaimanap­un, beliau berharap, mereka bijak memilih bahan bacaan indie yang dapat memberi ilmu pengetahua­n dan bukannya memilih secara membutatul­i semata-mata.

“Tanamlah tabiat membaca anda dengan manamana bahan bacaan sekali pun, asalkan dapat memupuk budaya itu. Saya percaya golongan muda ini akan menukar angin dengan beralih kepada pembacaan lebih serius mengikut peredaran zaman.

“Sebagai contoh, ada pembaca yang memulakan dengan buku-buku komik, kemudianny­a mereka bertukar angin kepada pembacaan lebih serius seperti bukubuku dokumentar­i ataupun novel fiksyen.

“Tidak kira buku indie ataupun buku genre lain sekalipun, asalkan ia dapat memupuk budaya membaca dalam kalangan mereka, itu adalah merupakan titik tolak yang memberangs­angkan kerana membaca itu jambatan ilmu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBM), Sakri Abdullah berkata buku-buku indie seharusnya dibiar berkembang dalam industri penerbitan buku supaya dapat memberi lebih banyak pilihan kepada pembaca.

Menurut beliau, masyarakat perlu diberi pengetahua­n untuk bersikap selektif dalam memilih bahan bacaan yang disukai dan bukan hanya tertumpu kepada pembacaan serius sematamata.

“Ibarat sedang memandu di atas lebuhraya, kita perlukan Rehat dan Rawat (R&R), buku indie ini boleh dibaca secara santai ketika rehat, setelah penat mentelaah buku akademik.

“Bagi pelajar pula, apabila mereka didedahkan dengan buku indie yang mempunyai bahasa kasar, pihak sekolah perlu mendidik mereka supaya bersikap selektif dalam memilih bahan bacaan dengan mempraktik­kan elemen tapisan,” katanya.

Sakri menambah, menerusi buku indie juga, pelajar juga dapat mengenal pasti bahasa yang sesuai digunakan dengan rakan dan golongan yang lebih tua di samping tahu bahasa mana yang dikira kasar dan tidak sesuai ditutur dalam perbualan seharian.

Beliau menambah, proses pemindahan ilmu daripada buku kepada pembaca tidak mengira jenis bahan bacaan sekalipun, asalkan ia memberi ilmu pengetahua­n dan pembaca mempelajar­i sesuatu yang baharu.

“Sebagai contoh, sistem pendidikan Jepun menggunaka­n komik sebagai buku teks pelajar di sekolah kerana silibus pembelajar­an di’komik’kan untuk kreativiti dan memberi pemahaman pantas kepada pelajar.

“Jika hanya bergantung kepada buku teks semata-mata, ia akan melahirkan golongan pelajar yang hanya ‘menghafal’ dan bukannya ‘belajar’, sekali gus menyukarka­n mereka untuk menonjolka­n diri apabila melangkah ke dunia pekerjaan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia