COVID-19: Daerah Asajaya kembali ke status Hijau
KUCHING: Daerah Asajaya kembali ke status Hijau setelah tiada kes jangkitan tempatan COVID-19 dilaporkan di daerah ini dalam tempoh 14 hari lepas.
Jawatakuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan berkata ini menjadikan jumlah daerah berstatus Hijau meningkat kepada tiga daerah.
Dua lagi daerah berstatus Hijau selain Asajaya ialah Daerah Telang Usan dan
Kabong.
“Manakala 27 daerah kekal berstatus Merah, sembilan daerah berstatus Kuning dan satu daerah kekal berstatus Jingga,” katanya.
Daerah berstatus Merah ialah Tatau, Tebedu, Betong, Pusa, Bau, Belaga, Sebauh, Sri Aman, Lundu, Pakan, Song, Bukit Mabong, Kanowit, Selangau, Saratok dan Subis.
Juga kekal berstatus Merah ialah Daerah Mukah, Sarikei, Beluru, Samarahan, Serian,
Meradong, Kuching, Kapit, Bintulu, Miri dan Sibu.
Manakala sembilan daerah berstatus Kuning ialah Lawas, Matu, Tanjung Manis, Simunjan, Marudi, Dalat, Daro, Lubok Antu dan Limbang dengan Julau kekal berstatus Jingga.
JPBNS turut memaklumkan Kluster Jepak di Bintulu ditamatkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.
Jumlah kluster yang masih aktif adalah sebanyak 82 kluster dengan lapan kluster merekodkan 36 penambahan kes baharu manakala 74 kluster tidak merekodkan penambahan kes.
Sementara itu polis telah mengeluarkan sebanyak 15 kompaun di daerah Kuching (7), Bintulu (6), Simunjan (1) dan Miri (1) kerana telah melanggar garis panduan (SOP).
Ini menjadikan keseluruhan kompaun yang telah dikeluarkan sejak 18 Mac 2020 hingga semalam sebanyak 6,524 kompaun.
Manakala, pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak pula telah mengeluarkan 18 kompaun di bawah seliaan MD Betong (5), MPP (3), MD Kapit (3), SMC (2), MD Serian (2), MBKS (2) dan MD Sarikei (1) atas pelbagai kesalahan pelanggaran SOP.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kompaun yang telah dikeluarkan oleh PBT sejak 1 Februari 2021 hingga semalam adalah sebanyak 498 kompaun.