Lebih banyak syarikat swasta, korporat diseru tampil menyumbang kepada barisan hadapan
MIRI: Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri berharap lebih banyak syarikat swasta, korporat dan dermawan tampil untuk menyumbang kepada barisan hadapan di sini.
Lee berkata, pasukan perubatan di Hospital Miri kini amat memerlukan peralatan perubatan, sut perlindungan kesihatan diri (PPE) dan lain-lain berikutan peningkatan kes COVID-19 di Miri sejak kebelakangan ini.
“Saya berharap akan ada dermawan untuk tampil menyumbang peralatan perubatan, PPE dan lain-lain kepada Hospital Miri memandangkan peningkatan baru-baru ini dalam jumlah kes positif COVID-19 di Miri,” katanya di sini selepas menerima sumbangan daripada sebuah syarikat swasta, semalam.
Syarikat berkenaan yang enggan dikenali menghulurkan sumbangan berupa 13 set penapis air atas meja (air panas, suam dan sejuk); dua set penapis air berdiri (panas, suam dan sejuk); tiga set Sistem Air Reserve Osmosis (RO) dan 15 set botol RO dengan kapasiti lima gelen air kepada Hospital Miri untuk keperluan kakitangannya.
Sumbangan tersebut telah diserahkan oleh wakil syarikat kepada Lee bagi pihak Hospital Miri sebagai tanda penghargaan kepada barisan hadapan di sini.
Jurucakap syarikat memberitahu sumbangan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat terbabit.
Bulan lalu, syarikat itu juga telah menyumbangkan lima unit bantuan pernafasan jenama Philips untuk Hospital Miri yang amat berguna untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksigen.
Turut hadir menyaksikan penyerahan sumbangan itu kepada pihak hospital ialah Pemangku Residen yang juga pengerusi JPBB Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong.