Utusan Borneo (Sabah)

Konflik Palestin-Israel: Naratif tipu acap kali dihujahkan Zionis, kata YADIM

-

KUALA LUMPUR: Pertikaian mengenai siapa tuan tanah dalam konflik Palestin-Israel adalah sesuatu yang klasik, naratif menipu yang sering kali dijadikan hujah angkuh puak Zionis, kata Timbalan Pengerusi Sektor Penyelidik­an, Penerbitan & Antarabang­sa Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Dr Muhammad Faiz Na’aman.

Menurutnya, ia sering kali dijadikan hujah puak Zionis kononnya nenek moyang mereka sejak dari zaman Nabi Daud (King Daud) telah membentuk negara monarki Israel silam di kawasan yang dahulunya dikenali sebagai Kan’an (Canaan).

Beliau berkata, catatan daripada kitab Injil (Bible) menyebut tanah tersebut asalnya dihuni oleh sekelompok manusia gergasi yang digelar Filistin (Philistine).

“Fanatik Zionis menuduh Palestin adalah istilah ciptaan Maharaja Rom, Hadrian yang menjajah kawasan tersebut setelah kejatuhan kerajaan Israel silam akibat daripada perpecahan bangsa mereka selepas kemangkata­n Nabi Sulaiman (King Solomon).

“Walhal fakta yang disembunyi­kan ialah Palestin (asalnya dieja Palaistine) pertama kali disebut oleh sejarawan Yunani (Greek) bernama Herodotus yang merujuk kawasan tersebut dalam catatannya hampir 500 tahun sebelum Nabi Isa lahir,” katanya dalam kenyataan semalam.

Muhammad Faiz menjelaska­n perkaitan antara istilah Palestin dan Filistin turut diakui oleh banyak ensikloped­ia Yahudi termasuk oleh ‘Jewish Virtual Library’ yang boleh diakses secara terbuka melalui Internet.

Namun pada 2019, beliau berkata Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menafikan perkaitan Arab Palestin moden hari ini dengan kaum Filistin silam setelah keputusan ujian DNA menunjukka­n kaum Filistin berasal dari Eropah manakala Arab Palestin pula dikatakan berasal dari Semenanjun­g Arab.

Beberapa kajian DNA telah dijalankan untuk mencari perkaitan antara Arab Palestin, Yahudi, warga Kristian di Timur Tengah serta lain-lain etnik minoriti seperti Druze dan Kurdish dan antara hasil kajian terkenal ialah daripada seorang saintis genetik Jerman bernama Almut Nebel.

“Kertas kajian beliau yang bertajuk, High-resolution Y chromosome haplotypes of Israeli and Palestinia­n Arabs reveal geographic substructu­re and substantia­l overlap with haplotypes of Jews diterbitka­n pada November 2000 oleh University College London adalah bukti nyata bahawa Arab Palestin adalah peribumi di kawasan itu.

“Nebel menyimpulk­an bahawa sebahagian atau mungkin majoriti Muslim Palestin adalah keturunan dari penduduk asal (tanah Palestin), terutama dari para penganut Kristian dan Yahudi yang telah memeluk Islam pada abad ke-7,” katanya.

Muhammad Faiz berkata, beberapa hasil kajian DNA yang lain juga menunjukka­n bahawa Arab Palestin moden hari ini mempunyai pertalian genetik yang amat rapat dengan Yahudi berbanding subsub etnik Arab yang lain di Timur Tengah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia