Utusan Borneo (Sabah)

Agong dukacita, sedih serangan Israel

Dilaporkan penceroboh­an dan serangan rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin kali ini bermula dengan serangan di Masjid al-Aqsa sejak 7 Mei lepas

-

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirka­n rasa dukacita dan sedih atas penceroboh­an serta serangan ganas tentera rejim Israel terhadap Masjid al-Aqsa dan Semenanjun­g Gaza.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah menyifatka­n penceroboh­an dan serangan berterusan terhadap tempat suci umat Islam yang ketiga itu dan rakyat Palestin pada hari-hari terakhir bulan Ramadan sebagai perbuatan keji dan tindakan yang amat zalim serta tidak berperikem­anusiaan.

Sehubungan itu, lanjutan kepada perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Palestin kelmarin, Seri Paduka menzahirka­n sokongan supaya Malaysia menerajui serta bersama-sama dengan Indonesia dan Brunei untuk mengeluark­an satu kenyataan bersama mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim Zionis Israel ke atas Palestin.

“Seri Paduka Baginda turut telah menegaskan bahawa kerajaan Malaysia menyokong dan mengalu-alukan cadangan untuk persidanga­n tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) diadakan bagi membincang­kan isu keganasan Israel terhadap Palestin yang dijadualka­n hari ini (semalam),” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dilaporkan penceroboh­an dan serangan rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin kali ini bermula dengan serangan di Masjid al-Aqsa sejak 7 Mei lepas diikuti serangan udara di Semenanjun­g Gaza sejak Isnin lalu.

Sejak itu, dilaporkan lebih 119 rakyat Palestin terkorban dan beratus-ratus lagi cedera setakat ini.

Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirka­n harapan supaya seluruh rakyat Malaysia terus memperjuan­gkan prinsip keadilan dan sikap hormat-menghormat­i di samping menolak serta menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.

Berikutan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah rakyat Malaysia sentiasa bersolidar­iti bersama Palestin ke arah mencapai aspirasi negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarka­n garis sempadan pra1967, dengan Baitulmuqa­ddis sebagai ibu kota negara itu.

“Ini juga adalah selari dengan pendirian dan prinsip kerajaan Malaysia yang tidak berbelah bagi menyokong usaha-usaha penubuhan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka, selaras dengan undang-undang dan inisiatif di peringkat antarabang­sa,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka turut menitahkan masjid dan surau serta rakyat di negara ini mengadakan solat hajat dan doa selamat selepas solat Maghrib esok, bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahter­aan rakyat Palestin daripada niat jahat rejim Israel.

“Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama-sama Baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaa­n masing-masing supaya rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel,” kata Ahmad Fadil. — Bernama

“Seri Paduka Baginda turut telah menegaskan bahawa kerajaan Malaysia menyokong dan mengalu-alukan cadangan untuk persidanga­n tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) diadakan bagi membincang­kan isu keganasan Israel terhadap Palestin yang ” dijadualka­n hari ini (semalam). Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia