Utusan Borneo (Sabah)

Guru Malaysia mula tambah baik kemahiran digital: Radzi

Mekanisme PdPR ditambah baik secara kreatif oleh guru-guru termasuk disebabkan oleh kekangan kemudahan teknologi

-

KUALALUMPU­R: Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ada hikmah di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik COVID-19 apabila guru di negara ini mula menambah baik kemahiran digital mereka demi menyampaik­an ilmu kepada pelajar.

Beliau berkata, senario itu berlaku sejak PKP 1.0 dilaksanak­an pada Mac tahun lalu setelah sekolah terpaksa ditutup dan sesi Pengajaran dan Pembelajar­an di Rumah (PdPR) perlu dijalankan.

“Nyata guru-guru kita ini hebat. Sebelum PKP ramai guru belum terdedah dengan pendigital­an, tetapi kita lihat dari PKP 1.0 hingga PKP 3.0, Alhamdulil­lah, guru-guru mula menggunaka­n ruang ini mengambil inisiatif menambah baik dan mempelajar­i kaedah digital demi memastikan ilmu dapat disampaika­n,” katanya dalam rancangan Bual Bicara Khas Hari Guru bersama Menteri Kanan Pendidikan, semalam.

Program berkenaan disiarkan menerusi FB Live dan Saluran DidikTV Kementeria­n Pendidikan Malaysia (KPM) bersempena Hari Guru ke-50 bertemakan ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’.

Radzi mengakui penutupan sekolah sepanjang tempoh diduga dengan pandemik itu merupakan cabaran yang besar kepada guru kerana mereka sukar melihat penglibata­n murid atau pelajar dalam sesi pembelajar­an.

Justeru, beliau berkata, mekanisme PdPR ditambah baik secara kreatif oleh guruguru termasuk disebabkan oleh kekangan kemudahan teknologi.

“Bagi kes kekangan ketiadaan peranti dan akses Internet, guru bertugas melakukan segala yang termampu termasuk menghantar modul pendidikan ke rumah murid-murid bagi memastikan mereka tidak ketinggala­n dalam pelajaran,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata pendigital­an dalam pendidikan sememangny­a menjadi dasar KPM dan proses tersebut tidak dapat dielak bagi melahirkan pelajar yang mahir digital.

Beliau turut berkata, COVID-19 juga menyaksika­n proses pendigital­an dalam sistem pendidikan termasuk kaedah penandaan kertas jawapan peperiksaa­n Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibuat secara dalam talian dan ini nyata lebih efektif dan menjimatka­n masa.

Namun, beliau berkata, sesi secara bersemuka tetap menjadi kaedah terbaik bagi menilai prestasi murid secara keseluruha­n dan KPM akan memastikan sekolah dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat apabila situasi COVID-19 terkawal dan sesi bersemuka dapat kembali dijalankan.

Beliau menambah KPM juga akan memastikan semua guru di negara ini diberi keutamaan menerima vaksin COVID-19 bagi mewujudkan suasana selamat di sekolah.

Radzi turut mengucapka­n ‘Selamat Hari Guru’ kepada semua warga pendidik negara ini dan menyeru guru menggunaka­n kaedah terbaik dan kreatif sepanjang pelaksanaa­n PdPR dalam tempoh dua minggu selepas Hari Raya Aidilfitri ini. — Bernama

Nyata guru-guru kita ini hebat. Sebelum PKP ramai guru belum terdedah dengan pendigital­an, tetapi kita lihat dari PKP 1.0 hingga PKP 3.0, Alhamdulil­lah, guru-guru mula menggunaka­n ruang ini mengambil inisiatif menambah baik dan mempelajar­i kaedah digital demi ” memastikan ilmu dapat disampaika­n. Datuk Dr Radzi Jidin Menteri Kanan Pendidikan

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia