Utusan Borneo (Sabah)

Pelbagai pihak sokong pendirian kerajaan berhubung isu Palestin

-

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak dan pertubuhan semalam menyatakan sokongan kepada kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin selain senada dengan pendirian kerajaan yang mahukan kekejaman Israel dihentikan serta-merta.

Perikatan Nasional (PN) menyifatka­n pengumuman Perdana Menteri kelmarin mengenai pelbagai bantuan dan usaha serantau adalah bukti kesungguha­n Malaysia yang mahukan penyelesai­an tuntas dan keadilan untuk rakyat Palestin.

PN dalam kenyataan semalam turut menyeru dan mendesak pemimpin negara seluruh dunia supaya segera mengutuk kezaliman dan keganasan yang dilakukan ke atas rakyat Palestin.

“Kami teguh bersolidar­iti dengan rakyat Palestin yang terus menerus dizalimi dan diusir dari tanah air mereka sendiri. Pembersiha­n etnik dan sistem aparteid amalan rejim Zionis mesti dihentikan segera,” menurut kenyataan itu.

PN turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersolidar­iti bersama rakyat Palestin dan berdoa agar mereka diberikan kesabaran, pertolonga­n serta kemenangan dalam usaha memelihara maruah dan hak selain menyumbang melalui kempen #Aid4Palest­ine atau melalui saluran lain yang sah.

Kaukus Kesejahter­aan Rakyat Dewan Negara pula menyeru seluruh rakyat Malaysia termasuk badan bukan kerajaan, badan-badan korporat dan parti politik supaya bersatu suara mengutuk tindakan keji Israel terhadap rakyat Palestin.

Pengerusin­ya Senator Datuk Razali Idris dalam kenyataan semalam berkata, kaukus selari dengan pendirian berprinsip kerajaan Malaysia yang sentiasa konsisten memberi sokongan padu kepada Palestin dan perjuangan rakyatnya sama ada dari segi politik, ekonomi dan moral.

“...penyelesai­an terbaik kepada konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui rundingan bagi memastikan keamanan, keselamata­n dan kestabilan serantau yang berkekalan,” katanya.

Turut senada Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha-usaha kerajaan dalam memastikan hak dan perjuangan rakyat Palestin sejak berdekad dalam mempertaha­nkan kota suci ketiga umat Islam itu.

Timbalan Presiden PPMM Muhamad Hisham Marzuki dalam kenyataan menzahirka­n penghargaa­n kepada kerajaan yang secara terbuka melalui perutusan khas Perdana Menteri semalam mengukuhka­n pendirian ke atas perjuangan rakyat Palestin dengan memberikan sokongan diplomatik, logistik dan moral.

Majlis Belia Malaysia (MBM) pula menyeru golongan belia di negara ini agar menyumbang dengan kapasiti masing-masing seperti berdoa, menderma, perkongsia­n maklumat dan aktivisme dalam talian termasuk menggunaka­n TikTok untuk menghentik­an keganasan dan membela kemanusiaa­n di Palestin.

Global Peace Mission (GPM) Malaysia yang juga rakan sinergi MBM telah melancarka­n kempen #MyAqsaDefe­nder bagi tujuan mengumpul dana kilat kewangan untuk pembanguna­n ekonomi dan pendidikan dengan sasaran RM10 juta.

“MBM sebagai pemegang taruh belia-belia ingin menyeru rakyat Malaysia merentasi sempadan kaum dan agama agar cakna dengan isu global yang berlaku kini,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataan berkata, masyarakat antarabang­sa khususnya Majlis Keselamata­n Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak boleh berdiam diri dan tidak lalai dengan kekejaman yang dilakukan Israel.

“Majlis Keselamata­n PBB mesti bertindak pantas dan tegas terhadap Israel termasuk menuntut tindakan segera menghentik­an penceroboh­an oleh Israel,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia